Penjawat Jawatan Semua Peringkat UMNO Kini Bukan ‘Caretaker’ – Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kepimpinan parti ketika ini adalah bersifat caretaker atau penjaga.

Katanya ini kerana Perlembagaan UMNO sendiri telah menyebut bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak untuk menangguhkan pemilihan tidak lebih 18 bulan.

“Ada tulisan yang berlegar di ruangan maya bahawa penjawat jawatan UMNO kini adalah caretaker atau penjaga lantas mereka membuat ulasan yang salah kononnya UMNO tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar kerana status itu.

“Dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.16 berbunyi ‘Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan’.

“Majlis Kerja Tertinggi telah pun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan. Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata oleh itu, UMNO berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti seperti termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.15 iaitu ‘Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti’.

“Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah caretaker dalam Perlembagaan UMNO. Dalam pertemuan saya dengan pihak ROS, mereka mengesahkan bahawa penjawat jawatan UMNO sekarang bukan berstatus caretaker.

“Jumlah penjawat jawatan UMNO selain 56 orang Ahli MKT, terdapat Exco Wanita, Pemuda dan Puteri juga jawatan di peringkat 191 bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta terdapat sejumlah yg ramai di 21,156 Cawangan dan puluhan ribu lagi Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.

“Ketika pelanjutan tempoh ini, UMNO telah antara lain memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov 2021, terlibat di PRN Johor pada 12 Mac 2022, mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 16 hingga 19 Mac 2021 dan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei 2022. Semuanya adalah sah daripada segi Perlembagaan UMNO itu sendiri,” ujar beliau,

Mengulas berkenaan pindaan Perlembagaan UMNO pula, beliau berkata pihaknya masih lagi menunggu kelulusan daripada ROS.

“Segala dokumen tambahan telah diberi, tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan. Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka.

“Adalah diyakini UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan. Pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO juga adalah teratur mengikut Fasal 30 Perlembagaan UMNO.

“Kami percaya dan berharap tiada sebarang halangan untuk ROS untuk meluluskan pindaan ini. Kelulusannya juga adalah sepertimana kelulusan diberikan oleh ROS kepada parti MCA berkenaan pindaan perlembagaannya yang membawa maksud sama /setaraf dengan pindaan Perlembagaan UMNO ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.