Filem Mat Kilau Papar Mesej Tersendiri, Perimbangan Duniawi Dan Ukhrawi – Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan banyak pengajaran yang diperolehi menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenomena baru-baru ini.

Beliau malah menyeru rakyat Malaysia untuk terus menghayati perjuangan yang dilakukan oleh pahlawan Melayu terdahulu dalam menjulang untuk membebaskan negara daripada penjajah.

“Antara iktibar yang dapat disingkap dari cerita yang dibawa dalam Filem Mat Kilau antaranya apa jua yang dilakukan harus ada perimbangan antara duniawi dan ukhrawi.

“Banyak iktibar yang boleh diambil dari mesej yang cuba disampaikan dalam filem Mat Kilau… orang mencari dunia akan dapat dunia namun orang yang mencari akhirat dia juga akan dapat dunia dan juga akhirat.

“Saya seru orang Melayu ketepikan soal perbezaan kabilah dan fikrah pemikiran demi agama dan orang Melayu, sejarah Mat Kilau perlu dihayati bukan sahaja untuk negeri Pahang bahkan untuk seluruh Nusantara dan Kepulauan Melayu itu sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, filem biografi epic ini terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibintangi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Hanafi Su, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, A. Galak, Namron, Ellie Suriaty dan Khir Rahman. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.