Melaka Perlu RM50 Juta Selenggara Tapak Warisan Dunia UNESCO

MELAKA, 7 Julai – Melaka memerlukan kira-kira RM50 juta bagi menyelenggara Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata kutipan Caj Warisan bermula pada April 2012 daripada pelancong yang menginap di hotel dengan kadar RM2 sebilik bagi tiap satu malam adalah tidak mencukupi bagi menampung usaha untuk penambahbaikan infrastruktur, keindahan, keceriaan serta kerja pemeliharaan dan pemuliharaan warisan Melaka.

Beliau berkata Melaka pernah menerima RM30juta daripada kerajaan persekutuan secara ‘sekali bayar’ atas kejayaan mendapat pengiktirafan UNESCO, yang disalurkan Jabatan Warisan Negara bagi tujuan projek pemuliharaan, latihan dan kesedaran berkaitan Tapak Warisan Dunia.

Justeru menurutnya pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-139 pada 28 Jun lepas, kerajaan negeri telah memohon agar geran khas yang sama seperti 2009 itu disalurkan kepada Melaka, atau diberikan peruntukan secara tahunan yang dianggarkan RM50 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM di sini hari ini.

Sulaiman berkata kedudukan Tapak Warisan Dunia Melaka terletak di bandar raya Melaka, yang merujuk kepada tapak tertua di bandar raya, termasuk Sungai Melaka yang melalui kawasan berkenaan, merangkumi Zon Sivik Bukit Melaka atau Bukit St Paul, Zon Kediaman serta Perniagaan Bersejarah.

Beliau berkata Tapak Warisan Dunia Melaka dibahagikan kepada dua Zon iaitu Zon Teras (Core Zone) seluas 45.3 hektar yang merangkumi kawasan Bukit Melaka (Bukit St Paul) dan kawasan perniagaan seperti di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Kampung Kuli, Jalan Tukang Emas, Jalan Tokong, Jalan Tukang Besi dan Jalan Kampung Pantai.

“Manakala Zon Penampan (Buffer Zone) seluas 242.8 hektar pula merangkumi Jalan Kubu, Jalan Bunga Raya, Jalan Kampung Jawa, Jalan Bendahara dan Jalan Temenggong yang berada di sekeliling Zon Teras dan berfungsi untuk melindungi zon berkenaan, dengan keluasan keseluruhan Tapak Warisan Dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO adalah 288.1 hektar,” katanya.

Katanya sambutan Melaka Heritage Festival 2022 sempena sambutan ulang tahun ke-14 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO akan diadakan secara besar-besaran bermula 15 Julai hingga 7 Ogos depan.

“Antara pengisian sambutan adalah persembahan kebudayaan etnik Melaka, Festival Masakan Warisan Melaka, Melaka Courtyard Heritage Assembly Workshop, bengkel-bengkel warisan tidak ketara, dengan acara kemuncak adalah Melaka Heritage Parade 2022 yang membawakan persembahan kebudayaan etnik-etnik yang terdapat di Melaka,” katanya.

Melaka diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008, menjadikan hari ini usianya genap 14 tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.