Laksana Program E-sport, Futsal Langkah Proaktif Dekati Pengundi Muda – Fazly

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju menggerakkan pelbagai inisiatif dalam mendepani pengundi muda berumur 18 tahun ke atas dan pendaftaran automatik buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketuanya, Datuk Mohamad Fazly Zainudin memaklumkan pihaknya bergerak secara proaktif mendekati anak muda dengan melaksanakan pelbagai program yang sinonim dengan golongan itu.

“Kami melaksanakan program e-sport, pertandingan futsal dan lain-lain aktiviti bagi mendekati anak muda ini supaya mereka dekat dengan BN (Barisan Nasional).

“Program e-sport yang telah dijalankan disertai seramai 300 org peserta yang berumur 18 tahun ke atas memang kita hendak target peringkat umur sebegini sebab sekarang ini kalau kita tengok ramai anak-anak muda kebanyakkan bermain e-sport.

“Kami juga telah buat pertandingan futsal dan juga insya-Allah kita akan turun ke sekolah-sekolah membuat program di sana,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata respon anak muda kepada program-program tersebut juga adalah menggalakkan.

“Buat masa sekarang ini saya tengok bila setiap kali prorgram UMNO BN alhamdulillah mereka turun memberi sokongan yang sangat baik.

“…dan di situlah kita dekatkan mereka dengan politik dan agenda perjuangan UMNO, BN yang akan memberi manfaat kepada masa hadapan mereka,” ujar beliau.

Jelas Fazly, beliau juga sering menggunakan pendekatan memberikan penerangan kepada golongan ini mengenai kepentingan mengundi BN.

“Anak-anak muda ini biasanya akan terpengaruh dengan rakan mereka walaupun ibubapa dan keluarga adalah pengundi BN tidak semestinya anak mereka akan bertindak sama.

“Jadi anak-anak muda yang bersama dengan BN ini kita beri penerangan untuk disampaikan kepada rakan mereka,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.