Banjir Baling: Sikap Ambil Mudah MB, Rakyat Tanggung Derita

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan kekesalan beliau ekoran sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan isu banjir di Baling.

Katanya, melihat kepada bentuk banjir dan kejadian ‘kepala air’ yang berlaku, longgokan kayu dan arus deras yang membadai sekelip mata adalah jelas bahawa bencana alam ini tidak sepenuhnya bersifat semula jadi melainkan adalah kesan langsung aktiviti pembangunan yang tidak lestari, tidak terancang dan dipacu ketamakan.

“Projek penanaman durian besar-besaran dikenali Ladang Rakyat yang dilulus dan dimulakan oleh PAS di tanah bukit berkeluasan 52 ekar di Hutan Simpan Gunung Irau berhampiran Kupang yang selama ini menjadi kawasan tadahan hujan dikatakan menjadi punca utama bencana banjir terburuk ini.

“PAS sekadar membisu. Pemimpin parti tersebut di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan kedua-dua menolak pertanggungjawaban mereka. Menteri Besar Kedah semasa mengulas isu ini sekadar dengan mudah menepis dan menangkis segala pertanggungjawaban beliau turut menegaskan yang sebenarnya tiada bukti saintifik untuk menyatakan projek Ladang Rakyat yang diluluskan PAS pada 2019 tersebut adalah punca banjir.

“…yang membingungkan kita pada tahun lalu beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa projek Ladang Rakyat tersebut adalah salah satu punca banjir sekali gus menuding jadi kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, perkara ini menunjukkan dengan jelas masalah besar yang mendasari Kerajaan Negeri Kedah bahawa Menteri Besarnya gemar mengambil sikap lepas tangan, ambil mudah dan halai balai.

“Mentaliti ‘bukan aku yang buat, mengapa aku perlu kisah’ nampaknya sangat menebal dalam kepimpinan negeri sedia ada malah semua perkara hendak dipolitikkan dan dibincangkan dalam ruang litup politik.

“Barangkali pada Menteri Besar Kedah, sekadar memberi arahan sudah mencukupi tidak perlu kepada follow-up, tidak perlu kepada penilaian dan pemantauan berkala, tidak perlu kepada laporan lengkap kepada pihak berkuasa atau Dewan Undangan Negeri. Semua itu pada beliau tidak penting, tidak perlu.

“Nampaknya tidak ada sebarang budaya tadbir urus yang serius, yang benar-benar mendalami isu dan memberikan jalan keluar dengan bersungguh-sungguh dan berkesan. Tidak ada,” tegas beliau.

Tambah Shaiful lagi sehingga kini, tidak ada sebarang ketegasan ditunjukkan untuk mengambil inisiatif membuka siasatan yang telus, mengkaji punca dan mengubah polisi serta garis panduan pembangunan.

Perkara ini katanya sudah pasti mengakibatkan rakyat Kedah berasa kesal dengan budaya kepimpinan seperti ini.

“Sampai bila lagi masyarakat perlu menjadi mangsa dan korban ‘bencana alam’ sebelum Menteri Besar mahu bertindak lebih proaktif dan mengambil serius urusan pentadbiran kerajaan negeri. Menteri Besar Kedah harus sedar sikapnya yang semberono, cakap lepas dan suka berjenaka tidak bertempat tidak akan membawa kebaikan sebenar kepada Kedah.

“Semua itu tidak diperlukan oleh sebuah negeri yang sedang berhempas pulas untuk pulih. Jauh sekali dari memadaI saya sarankan agar Menteri Besar Kedah menunjukkan empati dan nilai intelek yang lebih besar.

“Hujan akan berhenti banjir akan surut yang pergi tidak akan kembali tetapi seperkara yang pasti bencana bermusim seperti ini tidak akan selesai dengan jenaka dan sindiran spontan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.