Banjir Baling: Ahmad Maslan Harap Bantuan Bersepadu Dapat Diselaraskan

BALING, 7 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan rasa keprihatinan yang amat sangat terhadap musibah banjir besar lumpur yang melanda Baling.

Jelasnya, banjir besar ini melibatkan lebih seribu buah rumah yang terlibat iaitu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan Bayu dan berharap bantuan dapat diselaraskan agar semua mangsa banjir dapat menerimanya.

“Saya khuatir sekiranya bantuan tidak dapat diterima seperti yang pernah melanda banjir Semenanjung baru-baru ini. Saya juga berharap agar bantuan bersepadu daripada kerajaan pusat khasnya perlu diturunkan dengan kadar segera dan dapat meraikan Aidil Adha dengan sempurna. Begitu juga keutamaan ketika ini adalah bantuan untuk membersih rumah, peralatan rumah dan ianya adalah perkara-perkara yang menjadi paling keutamaan bagi mangsa banjir.

“Jika peringkat negeri hubungi pejabat daerah, jika peringkat parti hubungi UMNO Bahagian Baling iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Ketua Bahagian) supaya kita boleh menyelaraskan segalanya dengan baik. Begitu juga badan bukan kerajaan (NGO) boleh menghubungi pejabat daerah supaya bantuan itu selaras dan dapat diberikan secara adil pada penerima.

“Ahli Parlimen Baling serta jawatankuasanya telah berkerja siang dan malam supaya memastikan rakyat disantuni dengan baik dan kesemuanya. Terima kasih di atas bantuan NGO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, UMNO bahagian dan negeri,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap bantuan ini dihantar dan dipusatkan dengan baik oleh pihak-pihak menyelaraskan.

“Mana-mana rumah yang berada di tepi jalan mendapat bantuan banyak tetapi rumah yang berada di belakang dan sekitarnya tidak mendapatnya,” ujarnya.

Terdahulu banjir di Baling telah meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS). – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.