Saya Bersangka Baik Terhadap Mejar Mazlina – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau bersangka baik terhadap Mejar Mazlina Mazlan@Ramly dan memberi kepercayaan kepada wanita itu untuk menguruskan akaun peribadi serta akaun Yayasan Akalbudi (YAB) miliknya.

Ahmad Zahid, 69, berkata bekas Setiausaha Eksekutifnya itu turut diberi kepercayaan menguruskan pembayaran bil air serta elektrik dan pada setiap masa, beliau akan mendapatkan bantuan Mazlina untuk pelbagai urusan kewangan peribadi termasuk pembayaran kad kredit.

“Kebiasaannya, saya akan minta Mazlina jumlah debit atau kredit untuk kad-kad kredit milik saya sebelum pembayaran dibuat.

“Saya tidak berkesempatan menghubungi sendiri bank untuk bertanyakan mengenai penyata kad kredit kerana terlalu sibuk dengan tugas menguruskan negara. Jadi, saya beri kepercayaan kepada Mazlina untuk uruskan semua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran sama ada beliau mengambil berat tentang pembayaran kad kreditnya, Ahmad Zahid menjawab “Ya, benar.”

Raja Rozela: Jika benar, ada Datuk Seri minta daripada Mazlina untuk menunjukkan penyata kad kredit sebelum pembayaran dibuat?

Ahmad Zahid: Setiap kali saya memang minta dan beliau cakap ada tapi tidak pernah ditunjukkan kepada saya.

Raja Rozela: Tidakkah Datuk Seri ingin tahu berapa Datuk Seri berhutang dengan bank?

Ahmad Zahid: Setiap pembayaran dan pembelian ada resit, jadi saya tahu jumlahnya. Arahan saya adalah pembayaran itu guna akaun peribadi saya.

Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Zahid menafikan cadangan pendakwaan bahawa beliau hanya ingin melepaskan tengkuk sendiri apabila menuding jari kepada Mazlina berhubung pembayaran kad kredit peribadinya menggunakan cek YAB.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengesahkan beliau menggunakan enam kad kredit untuk membuat pembayaran bagi perbelanjaan peribadinya semasa lawatan rasmi ke luar negara bagi tempoh 2013 dan 2016 antaranya United Kingdom, Australia, Korea, Amerika Syarikat serta Itali selain beberapa pembelian di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ditanya Raja Rozela adakah beliau berada di luar negara setiap bulan antara 2013 dan 2016, Ahmad Zahid menjawab “Ya” serta menerangkan bahawa ketika itu, beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri (2013-2018) dan Timbalan Perdana Menteri (2015-2018).

“Hampir setiap bulan saya akan berada di luar negara untuk urusan rasmi,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.