PPBM Tak Malu Pada Rakyat, Bab Jawatan Pandai Pula Berbicara Soal Janji – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoal kewajaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika ini.

Katanya ini kerana, adalah lebih baik menyerahkan mandat kepada rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada menunjukkan sikap sebenar PPBM yang tamakkkan kuasa.

“Ini bukan masanya menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet lain! Lagipun edah PRU sudah sampai daripada terus bergaduh soal jawatan Kabinet lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat.

“Tak malukah berebut jawatan yang bukan mandat rakyat? Tak cukupkah lagi jumlah Kabinet terbesar dengan 70 orang Menteri dan Timbalan Menteri ketika ini?

“Perikatan Nasional (PN) sahaja sudah ada 33 orang Menteri dan Timbalan Menteri berbanding UMNO 10 Menteri dan 10 Timbalan Menteri!” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf malah membidas Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga memainkan peranan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan janji menyerahkan jawatan nombor dua negara itu kepada PPBM.

Sindir beliau, sedangkan PPBM juga tidak bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak menepati janji dalam menunaikan manifesto yang dirangka sendiri oleh Wan Saiful ketika parti itu memenangi PRU15 bersama Pakatan Harapan (PH).

“Bab jawatan pandai pula berbicara soal janji! Waktu Wan Saiful Wan Jan menulis manifesto untuk PH dulu tak malukah pada rakyat apabila banyak janji tak tertunai?

“Sepatutnya Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil kesempatan jumpa Perdana Menteri tempoh hari bincang cadangan bantu rakyat bukan tuntut jawatan!

“Benarlah laporan ekonomi antarabangsa bahawa pelabur tunggu dan lihat suasana politik negara baru mahu melabur lantaran ketidakstabilan politik akibat perebutan jawatan dan ugut mengugut tekan buton!” tegas beliau.

Terdahulu, Muhyiddin menerusi laporan media mengakui bahawa mengadakan pertemuan dengan Ismail bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin malah mengharapkan Perdana Menteri membuat keputusan secepat mungkin hasil perbincangan berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.