Tiada Kem Dalam UMNO, Akar Umbi Dukung Institusi Presiden – Dr Shafie

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berpandangan dakwaan wujudnya dua kem dalam parti sengaja direka oleh pihak tertentu.

Katanya, ini kerana akar umbi parti sentiasa mendukung institusi presiden yang menjadi paksi kepada keutuhan parti keramat ini.

“Tidak ada kem dalam UMNO kerana kami sentiasa menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akar umbi UMNO menganggap ini sahaja stuktur parti kalau tengok keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kesemuanya mengikut keputusan parti.

“Jadi hampir 100 peratus persetujuan itu dicapai terutama pada PAU kita setuju hendak Pilihan Raya Umum ke-15 dipercepatkan termasuk juga pemilihan yang perlu diadakan selepas itu.

“Jadi mana ada kem itu? Kalau berdasarkan fakta yang ada di depan mata maknanya tidak ada kem,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Pemantapan Jentera PRU15 Parlimen Wangsa Maju yang diadakan di Sekin Fisherman Village Hotel Dan Resort di Sungai Besar pada Ahad.

Terdahulu Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga menafikan wujudnya dua kem dalam UMNO ketika ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, jelas beliau parti diterajui oleh satu kumpulan dan menegaskan tiada pembahagian kem dalam UMNO.

Mengulas lanjut Dr Mohd Shafie berkata UMNO Wangsa Maju sudah bersedia sebaiknya untuk menghadapi PRU15.

“Kami bersedia sudah lama dari segi Lantikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) ini juga sudah lama dilantik.

“Sebelum ini mesyuarat PDM, kita berjumpa dan sebagainya malah data-data pun kita sudah mula ambil.

“Cuma kali ini kita meningkatkan lagi momentum jadi bengkel pemantapan ini dibuat di luar jadi apabila umum sahaja kita buat mock election semuanya sudah bermula dari segi praktikal,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.