Baling Diuji Banjir Lagi, Mohon Bertenang… Usaha Laksanakan Bantuan Dengan Kadar Segera – Azeez

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Banjir yang melanda di beberapa kawasan di Baling, Kedah mendapat perhatian Ahli Parlimennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turun padang melihat sendiri beberapa kampung yang menghadapi banjir, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian pada masa sama turut berharap penduduk bersabar dalam berhadapan dengan musibah ini.

“Baling diuji lagi dengan peristiwa banjir melibatkan kawasan Kampung Iboi, Kampung Tanjung Luas, Kampung Sedim dan Kampung Jernang, kepada semua rakyat Baling yang sangat saya kasihi mohon agar sentiasa bertenang dan sabar dengan ujian dari Allah SWT pada kali ini.

“Insya-Allah, saya bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing berserta dengan seluruh agensi yang terlibat sentiasa bersama anda memantau setiap perkembangan dan seterusnya berusaha melaksanakan bantuan dengan kadar segera.

“Meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai yang menempatkan 41 orang penduduk melibatkan sembilan keluarga setakat jam 11.20 malam tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Banjir tersebut juga mendapat perhatian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan beberapa ahli keluarga bekas Ketua Cawangan UMNO dalam Bahagian Baling dihanyutkan arus deras.

“Tolong doakan agar semua mangsa yang hilang ditemui selamat turut menjadi mangsa merupakan isteri, anak dan menantu kepada bekas Ketua Cawangan UMNO Kampung Bukit Iboi Baling Pak Cik Awang Milo yang saya baru sahaja bercakap telefon dengannya.

“Beliau masih kesedihan kerana isteri, anak dan menantu dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing, banyak rumah yang dihanyutkan,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohamad Sahabudin Besher Mohamad juga memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mangsa yang berhadapan dengan banjir ini untuk diberikan kekuatan.

“Doakan yang terbaik buat kami di Baling sesungguhnya dugaan kali ini amatlah hebat buat kami rakyat Baling, didoakan juga agar semua mangsa tragedi banjir lumpur sekitar Kampung Iboi hingga ke Pekan Kupang tabah menghadapi ujian ini.

“Kebajikan mangsa adalah tanggungjawab kami, insya-Allah kami akan pastikan keperluan mangsa tidak terabai mohon seluruh sahabat mendoakan agar mangsa yang hilang ditemui semula dengan selamat insya-Allah,” luah beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.