UMNO Parti Demokrasi, Beza Pendapat Bukan Bukti Wujud Dua Kem – Jamal

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berpandangan bahawa perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO tidak semestinya membuatkan parti terbahagi kepada dua kem.

Katanya ini kerana UMNO sebagai sebuah parti yang mendukung demokrasi meraikan pandangan dikemukakan bagi memastikan nilai perjuangan sentiasa menjadi teras utama parti keramat ini.

“Sebenarnya dua kem yang digembar-gemburkan ini sebagai satu pandangan sesetengah pihak yang berkepentingan kerana kami di peringkat akar umbi merasakan perkara ini adalah normal dalam mana-mana parti.

“Ada perbezaan pandangan atau selisih pendapat dan sebagainya tetapi akhirnya kalangan dalam kumpulan yang dianggap dua kem ini akan kembali ke wadah perjuangan yang asal.

“… kerana masing-masing ada pandangan sendiri dan sebab itulah UMNO ini kalau kita lihat lebih lagi demokrasi boleh mengutarakan pandangan masing-masing,” katanya.

Jamal malah meluahkan sokongan kepada kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjaga keutuhan perpaduan dalam kalangan ahli parti.

“Kalau kita lihat daripada dahulu pun dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atau sebelum itu lagi dari penubuhan awal UMNO sampai hari ini tidak pernah UMNO dikatakan hanya satu ketua dan semua ikut.

“Malah kuasa Presiden untuk menjaga kemakmuran dan keharmonian dalam parti ini tetap utuh lagi dan mana-mana individu yang dilihat keterlaluan,” ujar beliau.

Terdahulu Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga menafikan wujudnya dua kem dalam UMNO ketika ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, jelas beliau parti diterajui oleh satu kumpulan dan menegaskan tiada pembahagian kem dalam UMNO.

Sementara itu bercakap dalam konteks UMNO Bahagian Sungai Besar, beliau memaklumkan pihaknya ketika ini pada peringkat terbaik untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama merampas Parlimen Sungai Besar yang kini disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelas beliau, pelbagai persediaan telah dirangka termasuk dalam menghadapi pengundi 18 ke atas yang dikatakan sebagai undi penentu kepada PRU kali ini.

“Lebih mengutamakan solidariti, perpaduan antara kami dan gerak kerja dalam mendekati pengundi-pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas ini.

“Jadi kesiap-siagaan yang ada pada kali ini diharapkan kekal supaya momentum terus berada dalam puncak dan bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.