Penting Jaga Perpaduan Parti, Perpecahan Beri Keuntungan Kepada Musuh – Dr Shafie

SUNGAI BESAR, 4 Julai – Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berpandangan mengambil kira beberapa faktor Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

Katanya, ini bagi menjaga perpaduan dalam kalangan ahli parti kerana sekiranya pemilihan dilaksanakan sebelum PRU dibimbangi akan berlaku perpecahan.

“Kita tak tahu sama ada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lulus atau tidak pemilihan ke tahun depan iaitu enam bulan selepas PRU. Kalau ada pemilihan di peringkat bahagian-bahagian, cawangan-cawangan tahun ini takut berpecah perang di bahagian maka nanti ada pemancing-pemancing akan timbul.

“Pemancing-pemancing kali ini adalah dalam kalangan yang high class, ada jawatan, berduit maka nanti akan berkocak akar umbi.

“Bayangkan kalau berkocak kita tidak kira sapa menang kerana akhirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jadi kuat, mereka ini sudah nak mati kenapa mesti bagi nyawa?” soal beliau.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Pemantapan Jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Wangsa Maju yang diadakan di Sekin Fisherman Village Hotel Dan Resort di sini, Ahad.

Turut hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan kepimpinan lain.

Terdahulu pada Mei, UMNO telah menghantar surat kepada ROS berkaitan pindaan Perlembagaan UMNO yang telah dibuat.

Pindaan tersebut diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.