Pengerusi MPN Patut Melapor Kepada PM, Bukan Minta Jawatan – Shahril

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Sepatutnya Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila berjumpa dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah melaporkan kepada Ketua Kerajaan berkenaan dapatan atau cadangan MPN untuk menangani isu pemulihan.

Tetapi menurut Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan, Muhyiddin mengambil kesempatan untuk membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

“Sudahlah begitu, hebahkan pula kepada umum untuk cuba beri tekanan kepada PM. PM yang akan menentukan lantikan Kabinet. Tak perlu didesak sesiapa terutamanya pemimpin dari parti lain.

“Dan isu lantikan Kabinet bukan keutamaan saat ini. Adakah kalau ada TPM dari PPBM akan selesai isu rakyat?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Shahril memberi reaksi demikian ekoran kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang menuntut daripada Perdana Menteri jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri, lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun untuk diisi parti itu.

Tambah Shahril, Barisan Nasional (BN) baik dari dalam atau luar Kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

“Pengerusi PN barangkali lebih sibuk isu jawatan Kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.