Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Mesti Fokus Kepada Kartel Manipulasi Harga, Bekalan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan fokus kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi juga mesti tertumpu kepada kartel-kartel yang mengeksploitasi dan memanipulasi harga dan bekalan.

Menurut Dr Asyraf lagi, bukannya menghukum peniaga di hujung rantaian yang turut menjadi mangsa akibat kenaikan harga.

“Masa harga siling ayam kerajaan tetapkan pada RM8.90, tiba-tiba bekalan tiada. Apabila harga siling dinaikkan kepada RM9.40, tiba-tiba berlaku lambakan ayam sehingga ada tak habis terjual.

“Ini antara isyarat jelas bahawa inflasi hari ini bukan sangat kerana permintaan luar biasa melebihi daripada penawaran (demand tinggi); sebaliknya berlaku masalah di peringkat penawaran dan bekalan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, begitu juga isu minyak masak peket bersubsidi yang sukar untuk didapati di pasaran berbanding minyak masak botol yang sudah ditarik subsidinya.

“Apakah wujud sorokan bekalan atau ‘kawtim’ di belakang dengan pihak-pihak tertentu untuk meraih keuntungan di atas subsidi rakyat.

“Jangan kerana tersilap percaturan dan strategi jihad, rakyat yang susah menjadi mangsa,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.