Pastikan Tiada Penyelewengan, Ketirisan Minyak Masak Bersubsidi Dari Kilang Ke Sempadan – PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kerajaan mengerahkan pihak penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya operasi akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

“Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

“Kerajaan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.