Wanita Mesti Aktif, Proaktif Menyelami Denyut Nadi Rakyat – Noraini
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru terutamanya para wanita mesti sentiasa aktif dan proaktif dalam menyuarakan isu-isu dan perihal yang dekat di hati rakyat.
Katanya, ini termasuk soal memperjuangkan isu tersebut melalui saluran yang betul, dalam kapasiti kemampuan masing-masing dan sehingga mampu menjuarai segala apa yang menjadi kemelut kegelisahan mereka.
“Sudah tiba masanya tidak kira walau di mana posisi kita berada baik di pentadbiran awam, sektor korporat dan swasta, pemimpin politik serta NGO (badan bukan kerajaan), para guru, usahawanita, beliawanis, hatta sebagai suri rumah sekalipun, kita tetap perlu prihatin dan boleh berperanan dalam menyuarakan isu-isu yang menjadi denyut nadi dan perbincangan dalam rakyat.
“Kita kena dengar, kita perlu beri perhatian serius, kita lekas ambil tindakan dan selesaikannya dengan kadar segera terutamanya dalam hal ehwal berkaitan kebajikan dan perihal wanita dan masyarakat B40.
“Wanita UMNO sentiasa menyokong usaha bagi mencapai matlamat 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat dasar negara. Tetapi realitinya masih ketinggalan dan belum sampai sasaran seperti ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 3.0 Kemelut Kegelisahan Rakyat: Di Mana Suara Wanita? yang diadakan di Auditorium Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Mereka terdiri dari pada Ahli Parlimen Pengerang merangkap Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, Tokoh Sejarah Negara, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam, Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Peguam aktivis NGO Norhajran Mohd Noor.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, Exco Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari dan NGNCWO Dr Sharifah Shakirah.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata sebagai wanita cemerlang dan luar biasa jangan lupa untuk sentiasa berinisiatif dalam meningkatkan ‘skills’ atau kemahiran kompetensi.
“Wanita harus menguasai kemahiran pengurusan berkesan iaitu, planning, organizing, leading dan controlling atau POLC.
“Kita sudah dapat mengenal pasti dan menyediakan sejumlah wanita yang kompeten, bagi mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat dasar dan di pelbagai sektor strategik.”
Tegasnya, Wanita harus bersatu hati, cakna dan memperjuangkan kegelisahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Atas nama wanita dan rakyat Malaysia yang prihatin marilah kita bersatu hati lalu berganding bahu, untuk sentiasa cakna dan mengambil berat dalam memperjuang serta menyuarakan resah gelisah setiap permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat di sekeliling kita,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan