Tepat Keputusan UMNO Tolak Kerjasama Dengan PPBM, Semakin Jelas Ketamakan Mereka – Razlan
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Memang tidak salah keputusan UMNO menolak untuk bersama dengan PPBM/Bersatu kerana semakin dilayan semakin jelas ketamakan mereka, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii.
Razlan memberi reaksi demikian ekoran kenyataan Presiden PPBM yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuntut jawatan timbalan perdana menteri, menteri, lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun untuk diisi parti itu.
Justeru kata Razlan, UMNO perlu terus memberi penjelasan dan kepekaan kepada rakyat bahawa UMNO tiada kena-mengena dengan PPBM/Bersatu agar tidak terpalit dengan ketamakan mereka.
“UMNO tidak pernah mengetahui kehendak mahupun perjanjian yang disebut oleh Tan Sri Muhyddin, mungkin bukan hanya jawatan timbalan perdana menteri, menteri atau pengerusi GLC, mungkin juga projek-projek ratusan juta, ianya harus dihentikan dan tidak perlu dilayan.
“Tidak ada yang menguntungkan rakyat dan negara sekira melayan kehendak Bersatu, langkah melayan kehendak Bersatu akan membuat rakyat makin menyampah dengan kerakusan ahli politik, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Bersatu juga,” bidasnya lagi di dalam satu hantaran di Facebook.
Seterusnya, Razlan juga menyelar Muhyiddin agar memikirkan keperitan rakyat kini yang dihimpit pelbagai tekanan dan cabaran.
“Sekiranya saya di dalam kedudukan Tan Sti Muhyddin, saya akan malu sekira membangkitkan isu jawatan, isu kepentingan individu mahupun kepentingan parti di kala rakyat sedang dihimpit cabaran masa kini.
“Dalam waktu kerajaan hilang punca pendapatan, hasil negara mengecil, kewangan negara dicatu, tidakkah terpikir oleh Pengerusi Bersatu ini untuk berkongsi kesengsaraan ini?” soalnya.
Tetapi apa yang berlaku kata Razlan, dalam jangka waktu tinggal sepuluh bulan penggal berakhir, Muhyiddin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk ditambah jawatan kepada partinya itu.
“Dalam waktu sesingkat ini, Presiden Bersatu meminta ganti menteri yang baru. Beliau sudah menjadi menteri dan menteri besar, punyai pengalaman sekian lama, tahu sangat bahawa jawatan menteri ini akan mengambil masa setidak-tidaknya setengah tahun untuk suai kenal di kementerian, mengenali dasar dan juga lantikan-lantikan 11 pegawai yang baru.
“Apa sangatlah seorang menteri dan timbalan perdana menteri boleh lakukan dalam jangka waktu sesingkat ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE