Tidak Wujud Dua Kem Dalam UMNO – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan dakwaan wujudnya dua kem dalam UMNO.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan hanya ada satu kumpulan yang mengetuai pucuk pimpinan parti itu.

“Tiada kem dalam UMNO…hanya ada satu kem dalam UMNO,” katanya kepada pemberita ketika ditanya dakwaan bahawa UMNO kini mempunyai dua kem susulan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai isu dalaman UMNO sebelum ini.

Mengenai desakan beberapa pihak untuk kerajaan menarik semula lantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Perdana Menteri meminta agar keputusan pelantikan itu tidak dipersoalkan.

Tegasnya, pelantikan Tajuddin bagi jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Itu (lantikan Tajuddin) sudah diluluskan Kabinet dan diserah pada Agong… dah dapat perkenan (Agong). Sepatutnya dah serah watikah…tapi Agong gering waktu nak serah (watikah)..tapi lepas ni akan diserahkan.

“Jangan kita persoalkan kuasa Agong pula. Agong dah perkenan, (takkan) kita (kerajaan) pula nak tarik balik,” katanya.

Baru-baru ini UMNO menjadi perhatian umum selepas Tajuddin membuat pendedahan mengenai isu dalam parti termasuk soal menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti itu sehingga 16 Julai ini.

Pada Mei lepas, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum memberi ruang kepada ahli untuk memfokus kepada gerak kerja pilihan raya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.