Stadium Shah Alam Bangunan Ikonik, Perlu Penyelenggaraan Bukan Roboh

KUALA LUMPUR, 1 Julai – UMNO Bahagian Shah Alam meluahkan kebimbangan dengan laporan media yang memaklumkan bahawa Stadium Shah Alam bakal dirobohkan.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana bangunan ikonik itu perlu terus dipelihara dan pulihara sejajar dengan kedudukannya yang melambangkan kewujudan Shah Alam secara keseluruhannya.

“Pendirian kami jelas struktur asal stadium yang ikonik dan lambang kemegahan Selangor ini perlu dipertahankan, jangan diroboh jika pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Petaling Jaya boleh dipulihara semula kerana ada nilai sejarah begitu juga Stadium Shah Alam yang perlu dipertahankan.

“… ianya sangat dekat dengan sejarah penubuhan Bandaraya Shah Alam itu sendiri yang dicetuskan Almarhum Sultan Salahuddin. Banyak memori indah serta kejayaan terlakar di Stadium Shah Alam dan hanya anak jati Selangor yang dapat rasakan kesedihan dan kebimbangan sebaik sahaja berita ura-ura ia hendak dirobohkan tersebar.

“Orang luar Selangor mungkin tidak mempunyai perasaan begitu, tetapi anak jati Selangor yang melihat sendiri stadium ini dirancang, dibina dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin akan merasakan kesedihan jika benar ia akan lenyap dari pandangan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dirasmikan sendiri oleh Almarhum Sultan Salahuddin pada 1994 dalam suasana yang gilang gemilang jelas Azhari ianya juga sebagai bukti komitmen Almarhum dalam janjinya kepada rakyat Selangor bagi mewujudkan sebuah pusat pentadbiran negeri yang lengkap di Shah Alam selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Pusat.

Tambah beliau isu ini tidak akan timbul sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan stadium yang boleh memuatkan sehingga 80,300 penonton itu dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual.

“Seharusnya kerajaan negeri tidak alpa dengan perkara berkenaan masalah di Malaysia ini, kita ada budaya terlepas pandang dengan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Tidak perlu pergi jauh atau melantik konsultan mahal-mahal rujuk sahaja pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil yang bijak mempelbagaikan aktiviti.

“Mereka juga mempromosi kawasan sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil dgn program-program lain yang mendatangkan sumber pendapatan lain seperti penganjuran karnival dan sebagainya,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, pembangunan pesat di sekitar seharusnya menjadi kelebihan untuk stadium berkenaan hidup tanpa mengambil langkah drastik untuk diroboh, berikut cadangan yang dikemukakan oleh Azhari:

1. Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang dibina perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

2. Baiki segera kerosakan dan selepas itu, lantik pengurusan yang bijak dalam mempelbagaikan sumber pendapatan untuk stadium berkenaan agar tidak harap peruntukan kerajaan semata-semata.

3. Integrasikan kemudahan lain yang ada agar kompleks sukan berkenaan terus menjadi venue pilihan acara sukan, riadah, ekonomi setempat, karnival mahupun aktiviti sosial lain yang bermanfaat

4. Jadikan lokasi berkenaan menarik seperti di Bukit Jalil yang berjaya menarik minat pengunjung dan pelancong

5. Pentadbiran negeri perlu kreatif dalam berdepan isu berkenaan dan tidak ambil jalan mudah roboh dan bina semula

6. Selangor perlu ada enakmen warisan sendiri agar bangunan-bangunan bersejarah yang sangat dekat dengan kerabat diraja Selangor terus dipertahan dan dipulihara.

Terdahulu pada Rabu, media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu tersebut didakwa mempunyai kapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.