MPN Ternyata Gagal, Ketua Armada PPBM Jangan Cuba Tegakkan Benang Yang Basah – Zaidy

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir bersetuju dengan cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendesak kerajaan membubarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ternyata gagal berfungsi dengan baik.

Katanya lagi, Ketua Armada PPBM yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal terlalu cepat melatah dan nampak terlalu sangat taksub dengan bermain politik semata-mata.

“Sebagai salah seorang Timbalan Menteri di dalam kerajaan hari ini, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya memberi fokus kepada isu harga barang ketika ini. Jangan sibuk nak bermain politik hari-hari.

“Peganglah kepada nasihat yang selalu, seperti yang dipesankan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohamad Hasan kepada kami iaitu kalau tidak mampu jadi garam, janganlah pula kita menjadi langau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol menjelaskan sebagai Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal tidak perlu seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah apabila cuba mempertahankan kewujudan MPN.

Jelasnya, hakikatnya rakyat tidak dapat merasakan peranan sebenar MPN terutamanya dalam ketika negara baru beberapa bulan beralih ke fasa endemik ketika ini.

“Antaranya apa peranan MPN dalam membantu Kerajaan dalan isu bekalan makanan dan harga barang ketika ini? Wan Ahmad Fayhsal pernah berkata, MPN ada buat mesyuarat sebulan sekali persoalannya, apakah perkara yang dibincangkan?

“Jangan nafikan hakikat bahawa rakyat hari ini melihat MPN itu tidak ada peranannya. Sebaliknya, ia ditubuhkan hanyalah untuk ‘memuaskan’ hati Presiden Bersatu (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yasin semata-mata.

“Peluang telah diberi tetapi MPN masih gagal. Tunjukkan bukti, apakah perkara yang telah MPN cadang kepada Kerajaan untuk menangani pelbagai isu ketika ini,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.