Jaga Kepentingan Rakyat, Kerja Untuk Parti Beri Manfaat Kejayaan Berterusan – Nizar Zakaria

PARIT, 29 Jun – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Nizar Zakaria percaya prinsip menjaga kawasan sendiri dan mengelakkan daripada menimbulkan masalah kepada parti akan membolehkan kejayaan berterusan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit seterusnya menambah rakyat akan yakin dan percaya dengan usaha-usaha yang dilakukan dan paling penting menjaga kawasan masing-masing yang diamanahkan oleh masyarakat setempat.

“Prinsip saya  kena jaga ‘petak kita’ ataupun istilah ‘kawasan kita’ ataupun nama Parlimen seperti contoh P069 Parit ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN) N39 dan N40 ataupun yang mana-mana ada di dalam negara dan negeri, itu adalah kawasan kita.

“Kawasan jagaan ataupun taklukan iaitu kawasan di bawah jagaan kita perlulah kita bertanggungjawab sebaiknya.  Kita jaga ‘petak kita’ dan berkerja untuk parti  serta memastikan UMNO dan calon-calon UMNO/BN menang di petak masing-masing.

“Memang… boleh untuk bercakap tapi bercakap yang boleh memberi manfaat dan kelegaan kepada rakyat supaya orang mampu melihat bahawa UMNO/BN serta pemimpin-pemimpin kita berwibawa dan menjaga kepentingan dan tidak akan ‘lokek’ kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Nizar seterusnya menjelaskan sebagai pemimpin dan wakil rakyat, sememangnya diakui tidak mampu untuk menyelesaikan semua masalah serta perkara yang dikemukakan, namun tetap berusaha sebaiknya dalam usaha menyelesaikan soal-soal yang dibangkitkan.

“Sebagai pemimpin dan wakil rakyat kita kena betul-betul menyantuni dan juga memahami. Walaupun saya akui tidak semua yang kita santuni itu dapat selesaikan… tidak mampu, kadang-kadang dari segi peruntukan tapi kita cuba.

“Saya cuba untuk membantu dan ada perkara yang dapat dan ada yang tidak dapat. Secara umumnya di P069, Alhamdulillah baik segi sudut infra kebanyakannya semua telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat di dalam kawasan ‘petak saya’ dalam konteks Parlimen Parit serta DUN Belanja dan DUN Bota,” katanya.

Tegasnya, menjelang PRU akan datang BN Parlimen Parit mempunyai ‘tagline’ atau ‘motto’ tersendiri iaitu ‘Janji BN Parit Menang PRU-15’.

“Itu sebab Parlimen Parit ini ada ‘motto’. Pada pilihan raya 2013 kita ada ‘motto’ atau ‘tagline’ iaitu ‘menang bergaya’. Alhamdulillah kita menang dan itu adalah hakikatnya. Apabila berhadapan PRU ke 14 lalu UMNO kalah di peringkat negeri dan juga nasional.

“Kali ini kita mensasarkan PRU 15 ‘Janji BN Parit Menang PRU 15’… itu adalah motto kita. Gerak kerja telah terurus dan beberapa perancangan serta strategi disusun apabila gendang PRU 15 didendangkan. Maka seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Parit, masyarakat dan komponen BN akan terus memberikan sokongan,” jelasnya.

Beliau juga turut menasihati agar semua pihak janganlah berkelahi sesama sendiri dan paling penting kemenangan pada PRU akan datang bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Jangan sesekali ‘tembak kaki sendiri’ atau pun ‘tembak kaki kawan sendiri sebab kita berada diarus perjuangan dan memerlukan kebersamaan sebagai resepi untuk menang bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh, dinamik, mantap, stabil untuk kelangsungan negeri dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.