Malaysia Harap UN-Habitat Iktiraf Agenda Malaysia

KATOWICE (POLAND), 27 Jun – Malaysia berharap Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) mengiktraf Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia (SDGs Malaysia) bagi agenda mewujudkan Bandar Raya Mampan menjelang 2030.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementeriannya telah membangunkan program tersebut di mana 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan pelan tindakan SDGs dan seterusnya membentangkan laporan ‘Voluntary Local Review’ (VLR).

“Kami ingin UN-Habitat mengiktiraf program kebangsaan kami dan seterusnya memberikan akreditasi kepada bandar raya kami di bawah program induk UN-Habitat SDG Bandar Raya.

“Sehingga kini, Kuala Lumpur, Subang Jaya dan Shah Alam telah menyerahkan laporan VLR masing-masing manakala empat lagi sedang dalam proses iaitu Alor Gajah, Sepang, Selayang dan Bandaraya Melaka,” katanya dalam kenyataan selepas bertemu dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif semalam.

Reezal Merican, yang mengetuai delegasi Malaysia pada Forum bandar Sedunia ke-11 (WUF11) di sini, menyampaikan anugerah Tokoh Perancang Bandar Malaysia 2021 kepada Maimunah.

Sementara itu, Reezal Merican berkata Malaysia ingin bekerjasama dengan UN-Habitat untuk meningkatkan kapasiti teknikal tempatan untuk mempercepatkan pelaksanaan bandar pintar di negara.

“Kami menyokong inisiatif Bandar Pintar UN-Habitat yang memberi tumpuan kepada Bandar Pintar Berpaksikan Rakyat,” katanya.

Mengenai daya tahan pantai, beliau berkata Malaysia bangga untuk berkongsi metodologi dan rangka kerja kajian Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara yang dilancarkan baru-baru ini dengan negara lain.

Malaysia adalah antara beberapa negara yang telah merangka pelan tindakan strategik ini untuk melindungi dan mengurus kawasan persisiran pantai negara, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.