PM Umum Tarif Elektrik, Air Di Semenanjung Kekal, Harga Ayam Tidak Diapung

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang konsisten mengutamakan rakyat dalam setiap keputusan berkata, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Beliau berkata bagi harga ayam pula, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Keputusan yang dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan tidak menaikkan tarif elektrik dan air serta tidak apungkan harga ayam itu adalah pengumuman terbaru Ismail Sabri untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Rabu lepas perdana menteri mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram (kg).

Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, Ismail Sabri pada sidang medianya itu juga mengumumkan bantuan tunai tambahan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.

Keputusan tidak mengapungkan harga ayam itu juga bukti perdana menteri mengambil berat keluh kesah rakyat, memandangkan skim harga maksimum runcit ayam akan berakhir pada 30 Jun ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.