Ambil Peluang Karnival Kerjaya Pemuda BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap masyarakat di luar sana mengambil peluang pada Karnival Kerjaya Pemuda BN yang berlangsung hari ini sehingga Ahad nanti.

Menurut beliau kerjasama pelbagai pihak termasuklah syarikat swasta dan pelbagai agensi kerajaan serta lain-lain diharap benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

“Kita amat alu-alukan lebih 20,000 peluang pekerjaan yang disediakan sepanjang karnival ini berlangsung. Kita lihat statistik terkini pada Mac 2022 merekodkan terdapat 669,000 penganggur yang sering mengintai peluang pekerjaan.

“Dan jumlah ini adalah sesuatu yang bukan mencengkam lagi… tetapi oleh kerana dalam situasi yang begini termasuklah kos sara hidup yang tinggi, kita tidak terkejut jika inflasi, jika kita berada dalam situasi begini dan melambungnya harga barangan menyebabkan kesengsaraan yang akan dirasasi oleh semua.

“Oleh yang demikian kita tentunya mengharapkan pihak swasta, agensi serta kerajaan sendiri harus berganding bahu untuk mengatasi masalah ini dalam waktu singkat dengan usaha-usaha ke arah memperkukuhkan ekonomi dan memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak dalam tempoh pasca pandemik mesti dilakukan dengan serius. Saya ingin rakamkan penghargaan kepada Pemuda BN yang telah berjaya menganjurkan program hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnial Kerjaya Pemuda BN yang bermula hari ini sehingga Ahad di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Turut serta Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Program, Datuk Lassim Burhan; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pimpinan BN lain serta wakil-wakil syarikat yang terlibat sepanjang karnival berkenaan.

Karnival Kerjaya Pemuda BN bermula hari ini pelbagai syarikat serta agensi menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mencari pekerjaan.

Beliau seterusnya mengajak semua pihak untuk mengenepikan perbezaan pendapat sebaliknya terus bergerak ke depan dalam usaha memberikan peluang pekerjaan kepada belia serta anak-anak muda.

“Kerjasama pelbagai termasuklah syarikat swasta serta pelbagai agensi dan badan-badan bukan kerajaan… jangan lupakan usaha-usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak. Untuk parti-parti ketepikan perbedaan-perbedaan dalam usaha untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Usaha-usaha jangka pendek dan sederhana mesti dilakukan daripada sekarang. Apa yang dilakukan menerusi karnival Kerjaya Pemuda BN adalah satu usaha yang harus kita berikan dukungan. Saya menyeru rakan-rakan kita di luar sana gunalah peluang untuk kita menggamit rakan-rakan lain untuk bersama. Ketepikan perbedaan-perbedaan politik,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.