Jangan Lupa Esok… Rebut Peluang Pekerjaan Di Karnival Kerjaya Pemuda BN – Lassim
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Mereka yang sedang mengintai peluang pekerjaan perlu merebut peluang yang disediakan menerusi Karnival Kerjaya Pemuda BN yang akan bermula esok sehingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Pengerusi Sekretariat Ekonomi Pemuda UMNO, yang juga Pengarah program berkenaan, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata jumlah peluang pekerjaaan yang ditawarkan cukup tinggi apabila lebih 20,000 disediakan untuk mereka yang mencari pekerjaan.
Jelas beliau berdasarkan kepada siri karnival yang telah diadakan sebelum ini, lebih 80 peratus mereka yang menyertainya ditawarkan serta mendapat pekerjaan dan tawaran yang ada sepanjang tiga hari karnival berkenaan meliputi pelbagai sektor serta kerjaya.
“Dengan pelbagai jawatan termasuklah daripada pensyarah sehinggalah kepada kru, ini adalah gambaran kepada peluang-peluang yang disediakan. Daripada peringkat tinggi hinggalah ke peringkat pelbagai cabang.
“Malah saya sekali lagi ingin tegaskan tidak kira sama ada anak muda yang berpendidikan SPM hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi… semuanya tersedia oleh pelbagai syarikat serta agensi yang ada,” katanya kepada UMNO-Online.
Justeru beliau sekali lagi berharap peluang berkenaan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat di luar sana supaya peluang yang tersedia dalam pelbagai bidang serta sektor itu dapat dipenuhi sebaiknya.
“Jadi kepada anak-anak muda serta para belia dan mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan, jangan lupa untuk datang dan segeralah mendaftar menerusi laman www.BNjobfair.com dan pengunjung boleh memuatnaik resume mereka.
“Selain itu, pendaftaran secara walk-in juga kita sediakan bagi pengunjung yang tidak sempat untuk mendaftar secara online, mereka boleh mendaftar resume mereka di kaunter pendaftaran. Setiap pengunjung akan diberikan QR Code untuk memudahkan resume mereka diakses oleh majikan. Mereka boleh pergi satu ‘booth’ ke satu ‘booth’ yang lain dengan membawa QR Code sahaja selepas memuat naik resume mereka di www.bnjobfair.com,” ujarnya.
Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO ini bakal diadakan di WTCKL bermula 24 – 26 Jun ini, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.- UMNO Online