Batal Rayuan Tuntutan Batu Putih Bukti Kegagalan PH Pertahan Kedaulatan Negara

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata tindakan kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 yang tidak meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Putih membuktikan mereka gagal mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, sehingga kini persoalan mengapa Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH ketika itu bertindak demikian sedangkan tarikh perbicaraan telah hampir dan ditetapkan pada pada 11 Jun 2018 masih tidak ada penjelasan.

“Dalam kesempatan ini saya menyorot kembali titah baginda Sultan Johor ketika perasmian sidang DUN Khamis lalu. Betapa Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran PH pada tahun 2018. Ini adalah berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkaitan tuntutan Pulau Batu Putih.

“Dalam hal ini, Baginda Sultan telah mengingatkan bahawa semua pihak jangan buat keputusan sesuka hati kerana hal berkaitan kuasa-kuasa negeri termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Apa-apa perkara khususnya yang melibatkan soal kedaulatan negara tidak boleh dipandang mudah, malah perlu dinilai dan diteliti

“Perlu difahami bahawa usaha mengemukakan permohonan untuk semakan penghakiman Pulau Batu Putih dibuat kerana terdapat penemuan bukti baharu serta tarikh pendengaran untuk semakan telahpun ditetapkan pada 11 Jun 2018. Malangnya, belumpun sampai ke tarikh tersebut, sewenang-wenangnya dibatalkan tanpa perkenan Baginda malah sehingga kini tidak ada sebarang penjelasan yang mengakibatkan kita kehilangan milikan Pulau Batu Putih untuk selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam persidangan DUN Johor di sini semalam.

Tegas Sharifah Azizah, kesan tindakan membatalkan prosiding rayuan Pulau Batu Putih bukan hanya pada Bangsa Johor semata-mata kerana warga negara Malaysia keseluruhannya turut tercalar kerana memberi mesej tidak baik kepada kedaulatan negara.

“Sesungguhnya malah sewajarnya, apa berlaku sekalipun, kita tidak boleh mundur atau berundur sebagaimana yang dilakukan. Keputusan dengan tidak meneruskan prosiding tersebut seolah-olah kita menyerah sebelum berjuang, mengangkat bendera putih sebelum masuk ke medan tempur dan betapa naifnya kita melepaskan kedaulatan tanah air kita dengan mudah tanpa mempertahankannya sehabis daya dan usaha.”

Sehubungan itu katanya, kerajaan wajar bertegas apatah lagi apabila melibatkan soal kedaulatan dan tanah air tercinta.

“Selari dengan Titah Baginda Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, kerajaan baharu hari ini mesti bertegas, bukan hanya terhadap usaha untuk kajian opsyen yang telah pun diambil oleh Kerajaan Persekutuan tetapi juga bertindak tegas terhadap individu ketika itu yang telah melanggar kuasa negeri.

“Ketegasan ini perlu diterjemah dengan tingkah dan tindakan malah mesti direalitikan agar menjadi tauladan kepada pihak lain bahawa soal kedaulatan, negara bangsa dan kepentingan Bangsa Johor tidak boleh diputuskan atau diganggu gugat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Baginda yang menaungi wilayah dan kerajaan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.