25 Menara Komunikasi Akan Dibina Di Johor

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – Sebanyak 25 menara komunikasi baharu akan dibina di Johor bagi mengatasi masalah capaian Internet sekali gus memberi manfaat kepada 50,846 premis di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan negeri merancang membina 11 menara di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Tiram (10) manakala Bukit Naning dan Parit Yaani masing-masing dua.

“Kesemua menara komunikasi ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2023,” katanya pada persidangan DUN Johor di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Azizul Bachok (BN-Tiram) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah capaian Internet di kawasan pedalaman dan sekitarnya.

Norlizah berkata terdapat tiga tapak menara komunikasi baharu sedang dalam pelaksanaan pembinaan di DUN Tiram dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023 melibatkan Kampung Orang Asli Pasir Salam, Kampung Sri Perdana Sungai Tiram dan Kampung Bukit Dagang.

Menurutnya menerusi JENDELA juga kerajaan negeri merancang menaik taraf stesen pemancar kepada teknologi 4G/LTE melibatkan 285 stesen pemancar di DUN Kota Iskandar, Tiram (254), Parit Yaani (54) dan Bukit Naning (52).

Katanya di Pekan Parit Yaani pula terdapat dua stesen pemancar telah siap dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G, manakala talian tetap kabel tembaga sedang dalam kerja penaiktarafan kepada talian Internet berkelajuan tinggi gentian optik yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.

Sementara itu, Norlizah yang ditemui pemberita di luar persidangan DUN berkata sebanyak 44,920 guru di sekolah rendah dan menengah di Johor menyambut baik cadangan mengkaji semula cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu yang dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata ini kerana berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, ramai pelajar direkodkan tidak hadir ke sekolah pada setiap Ahad sehingga menyebabkan bilik darjah kelihatan hampir kosong pada hari tersebut.

Pada 14 Jun lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada hari Jumaat dan Sabtu.

Bagaimanapun, beliau dipetik sebagai berkata keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan setelah pihaknya mendapat kaedah yang tuntas.

Cuti minggu negeri Johor berkuat kuasa pada 1 Jan 2014 susulan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan pertukaran cuti itu kepada Jumaat dan Sabtu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.