Rakyat Selesa UMNO Tadbir Kerajaan, Landasan Terbaik Laksana PRU15 – Zahidi
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar dilaksanakan mengikut kesesuaian masa termasuk penerimaan rakyat kepada UMNO ketika ini.
Katanya, melihat kepada situasi semasa rakyat kini berasa selesa dengan pentadbiran kerajaan yang dikemudi oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
“… dari segi segera atau tidak kita kena tengok keadaan yang terbaik, kalau kita rasa bersedia buat cepat contoh rakyat terima kita sekarang ekonomi pun baik… lihat pada bulan Oktober pembentangan Bajet 2023 pun cantik.
“Rakyat pun puas hati dengan kerajaan kepimpinan UMNO ini, kita buat PRU cepatlah,” katanya.
Zahidi bagaimanapun berkata ianya perlu melalui perbincangan bersama MKT yang juga dianggotai beliau.
“Buat PRU15 pada masa terbaik apa pun perlu perbincangan dengan MKT UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima memorandum daripada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkenaan isu Digital Nasional Berhad (DNB) di pejabat beliau di Angkasapuri hari ini.
Terdahulu, pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 perwakilan sebulat suara memberi mandat kepada lima pemimpin utama parti untuk mengadakan perbincangan mengenai PRU15.
Lima pemimpin utama parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ahmad Zahid juga malah berkata, kelima-lima pemimpin berkenaan termasuk dirinya akan menetapkan tarikh tersebut sebelum dibawa ke MKT untuk dijadikan sebagai ketetapan parti. – UMNO Online