Semoga Al-Sultan Abdullah Diberikan Kesejahteraan, Lindungan Maha Esa – Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini berada dalam keadaan gering untuk sihat sebaiknya.
Beliau juga berharap kesejahteraan Seri Paduka Baginda sembuh seperti sedia kala.
“Menerima perkhabaran Seri Paduka Baginda berada dalam keadaan gering sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di ibu negara ketika ini.
“Namun kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dilaporkan tidak begitu membimbangkan.
“Saya dengan penuh pengharapan mendoakan agar Seri Paduka Baginda diberi kesembuhan segera dan sentiasa dalam lindungan Yang Maha Esa… amin ya rabbal alamin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Baginda kini sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di sini kerana gering di bahagian kaki. – UMNO Online