Lebih 12 Juta Pengembara Direkodkan Masuk Keluar BSI, KSAB Sejak April

ISKANDAR PUTERI, 20 Jun – Lebih 12 juta pengembara direkodkan masuk dan keluar ke negeri ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, sejak pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata daripada jumlah itu, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI antara April dan 14 Jun manakala 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan penggembara di CIQ BSI adalah 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang sejak pembukaan sempadan.

“Statistik mod penggunaan kenderaan di CIQ BSI bagi tempoh yang sama merekodkan sebanyak 42.9 peratus menggunakan bas, 15.2 peratus bagi kereta, 38.1 peratus bagi motosikal dan 3.7 peratus bagi lori untuk kemasukan warganegara, manakala bagi bukan warganegara 38.6 peratus adalah bas, 54.7 peratus kereta, 6.6 peratus motosikal dan 0.1 peratus lori.

“Bagi tempoh yang sama, di CIQ KSAB, sebanyak 6.2 peratus menggunakan bas, kereta (23.3 peratus), motosikal (61 peratus) dan lori (9.6 peratus) untuk warganegara, manakala bagi bukan warganegara 9.5 peratus bagi bas, kereta (78.3 peratus), motosikal (12.2 peratus) dan 0.01 peratus bagi lori,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah berbincang dengan semua agensi berhubung peningkatan mendadak bilangan keluar masuk pengguna di kedua-dua tempat tersebut termasuk menambah tenaga kerja serta kapasiti anggota di kedua-dua CIQ tersebut.

Menurutnya secara keseluruhan, 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI dan 169 kaunter lagi di CIQ KSAB.

“Ketika ini, di CIQ BSI, 38 kaunter laluan kereta dan 50 kaunter laluan motosikal keluar masuk disediakan dan 12 kaunter kenderaan berat dan 42 kaunter automatik dan manual beroperasi bagi perkhidmatan bas.

“Di CIQ KSAB pula, terdapat 24 kaunter laluan kereta dan 25 kaunter motosikal keluar masuk disediakan manakala 26 kaunter bas dan 3 kaunter lori disediakan.

“Bagi kedua-dua pintu masuk itu, JIM menugaskan 1,631 anggota diikuti 722 kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 87 orang daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 206 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata beliau.

Onn Hafiz juga berkata beberapa inisiatif akan dilakukan oleh kerajaan negeri dengan sokongan pelbagai agensi peringkat negeri dan Persekutuan bagi mengatasi isu peningkatan aliran keluar masuk di kedua-kedua tempat tersebut.

Beliau berkata lorong motosikal bakal ditambah kepada 75 lorong daripada 50 lorong sekarang, setiap satu berserta kaunter hybrid iaitu untuk motor manual dan Mbike manakala di lorong kereta pula, kerajaan akan laksanakan sistem ‘Single Loading Double Capacity’ bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter.

“Selain itu, penggabungan kemudahan Touch ‘n Go di kaunter Imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari 2023.

“Di dalam perancangan ialah membenarkan kenderaan ringan menggunakan laluan lori sebagai laluan kontra semasa waktu kesesakan dan ini turut melibatkan pengubahsuaian kaunter untuk kemudahan pemandu kereta.

“Pemasangan papan tanda yang menyatakan ketersediaan kaunter Imigresen untuk pemeriksaan. Ini sekali gus membantu menyuraikan trafik,” katanya.

Onn Hafiz menjawab soalan lisan Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung keadaan sempadan Malaysia-Singapura termasuk bilangan aliran orang di CIQ BSI dan CIQ KSAB sejak sempadan dibuka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.