Generasi Muda Disaran Mula Perniagaan Kecil Untuk Kurangkan Risiko Perniagaan – MB Perlis

KANGAR, 20 Jun – Generasi muda di Perlis yang ingin menceburi bidang perniagaan digalakkan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi mengurangkan risiko dalam perniagaan, menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata kerajaan negeri menyokong lebih ramai generasi muda untuk menjadi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memberi tumpuan kepada satu bidang perniagaan semasa memulakan perniagaan.

“Mereka juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan dan banyak ‘kisah kejayaan’ dilihat daripada kegigihan anak muda yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka bermula daripada skala kecil dan membesar secara beransur.

“Justeru, risiko yang mereka hadapi dari segi modal mahupun pinjaman adalah tidak begitu besar. Antara kisah kejayaan itu adalah perniagaan Ais Krim Mokti’s yang dimiliki sepasang suami isteri berusia 30an,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kilang Gelato PMA Rich (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan aiskrim jenama Mokti’s di sini hari ini.

Menurut Azlan, generasi muda di negeri ini diharap dapat mencontohi kejayaan pasangan itu yang kini berjaya membuka 84 cawangan di seluruh negara serta memiliki empat kilang di Perlis daripada hasil usaha sendiri.

Beliau berkata kerajaan negeri dan kerajaan pusat menyediakan bantuan tertentu sebagai insentif kepada generasi muda yang menceburi bidang perniagaan, namun, ramai yang tidak menerima maklumat mengenai bantuan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mokti’s HQ Malaysia, Siti Fatimah Adnan berkata, beliau memulakan perniagaan dengan menjual aiskrim dari bonet kereta di Pengkalan Asam, di sini, pada 2019 kerana gemar membuat aiskrim dan menikmati aiskrim.

“Saya tidak sangka ketika awal pandemik COVID-19, maklumat mengenai aiskrim Mokti’s menjadi rancak dari mulut ke mulut dan akhirnya berkembang pesat,” kata anak Perlis berusia 31 tahun itu.

Siti Fatimah yang juga pengasas Mokti’s berkata, beliau memulakan perniagaan di rumah sebelum berjaya membuka kilang sendiri selepas mendapat sambutan yang luar biasa.

“Pada peringkat awal, kita tidak menerima bantuan daripada agensi dan bermula dengan modal yang rendah. Sedikit demi sedikit dapat membeli mesin aiskrim dan menyewa bangunan, sehingga berjaya hingga ke tahap hari ini dengan mempunyai seramai 75 kakitangan,” katanya.

Suaminya, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskanderndzulkarnein, 33, yang juga Ketua Pegawai Pemasaran PMA Rich (M) Sdn Bhd, bercadang untuk meluaskan pasaran ke luar negara.

“Kini, kita telah berjaya membeli mesin membuat aiskrim dari Turki dan dapat meningkatkan kualiti aiskrim,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.