SPRM Perlu Siasat Tan Sri Muhyiddin Yassin – Zaidy

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berpandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan terperinci dalam keadaan segera terhadap pendedahan Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd, David Tan di mahkamah yang mendakwa pihaknya ada memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, seharusnya, pihak berkuasa pencegahan rasuah itu perlu bersifat adil dalam melakukan penyiasatan mereka apatah lagi tuduhan itu dibimbangi berlaku sebagai balasan perniagaan kepadanya yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri.

“Bekas Perdana Menteri itu juga perlu dengan segera meletakkan jawatannya di dalam Kerajaan hari ini sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bagi memberi peluang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan terhadapnya secara telus dan adil.

“Justeru, Tan Sri Muhyiddin diingatkan supaya tidak lagi bersandiwara dengan memaparkan kononnya dirinya bersifat bersih dan bebas rasuah.

“Hakikatnya, pendedahan di mahkamah itu telah membuka pekung di dada Tan Sri Muhyiddin sendiri yang selama ini gemar menuduh lawannya kononnya terlibat dengan salah guna kuasa, ” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol menjelaskan ia diibaratkan seperti kata pepatah iaitu paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih apabila beliau sendiri terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa.

“Maka, Tan Sri Muhyiddin perlu disiasat SPRM jika agensi itu benar-benar serius untuk mencegah rasuah di negara ini. Jadikan Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘kluster mahkamah’ iaitu satu gelaran yang beliau sendiri ciptakan bagi merujuk kepada musuh politiknya, ” tegasnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.