Persediaan Jentera Aspek Penting Lancarkan Gerakan Parti Menjelang PRU – Wan Rosdy
KUANTAN, 19 Jun – Sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, persediaan pelbagai pihak khususnya jentera parti amat penting dalam usaha melicinkan gerakan membantu UMNO/BN mencapai kejayaan kelak.
Justeru semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama jentera Puteri UMNO negeri itu mengambil langkah awal dengan melancarkan jentera IT Puteri UMNO Pahang.
“Pelancaran jentera IT Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang semalam berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dah bersemangat. Rata-rata jentera Puteri UMNO yang hadir menunjukkkan azam dan iltizam yang tinggi untuk membantu memastikan kemenangan parti pada PRU-15 nanti,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau seterusnya mengingatkan jentera Puteri UMNO supaya terus bergerak dengan lebih aktif mendekati masyarakat khususnya golongan muda.
“Semasa pertemuan ini juga, saya minta jentera Puteri UMNO cergas mendekati pengundi, khususnya golongan muda kerana buat kali pertama dalam sejarah, PRU-15 akan membabitkan pengundi automatik seawal usia 18 tahun.
“Saya juga menuntut jentera Puteri UMNO berusaha gigih bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui pemerintahan negara pada PRU-15. Hanya dengan kemenangan BN membolehkan kita membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kerajaan yang memartabatkan Islam, kerajaan yang mempertahankan institusi Raja, kerajaan yang memperjuangkan hak orang Melayu, serta kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat,” tambahnya. – UMNO Online