Bila Pun Tarikh PRU 15, UMNO Tetap Bekerja Berkhidmat Untuk Rakyat – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor mengajak ahli-ahli UMNO semua peringkat untuk tetap terus bekerja dan melaksanakan tugasan dengan melakukan khidmat untuk rakyat.

Katanya, tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang sekarang ini seakan menjadi polemik sama ada dipercepat atau lambat tak sewajarnya menjadi persoalan.

“Bila pun tarikh PRU ia tetap akan berlaku dan sebagai wakil rakyat dari UMNO tentunya kita bersetuju keputusan yang diangkat daripada persidangan Perhimpunan Agung UMNO tetapi dalam masa yang sama, kita mesti terus bekerja dan berkhidmat setiap masa,” katanya.

Ujarnya ada kemungkinan pihak yang menjadikan tarikh PRU sebagai isu adalah cubaan untuk mengalih perhatian dan merosakkan pemikiran orang ramai terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dalam keadaan sokongan rakyat kembali kepada kita, maka tentunya pihak lawan sentiasa cuba mengalihkan perhatian termasuklah merosakkan minda dengan menggunakan keputusan parti yang mahukan PRU lebih awal sebagai taktik politik.

“Sekarang ini kita bekerja dan sama-sama menyokong usaha untuk kembali memulihkan keadaan ekonomi setelah mengalami pandemik dan krisis politik tetapi dalam masa yang sama kita jangan lupa kisah pentadbiran 22 bulan kerajaan lalu.

“Memang ada cubaan pihak tertentu yang mahu menggagalkan usaha UMNO/BN tapi kita jangan terpedaya malah sewajarnya kita terus fokus dengan keutamaan adalah untuk rakyat dan masa hadapan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu dilaporkan terdapat pemimpin politik lawan yang menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah golongan yang gila kuasa.

Menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2021 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.