Zahid Ucap Syabas, Tahniah Skuad Harimau Malaya Layak Ke Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang layak ke Piala Asia 2023

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia adalah berkat keazaman yang membuahkan hasil.

“Teruskanlah perjuangan. Usah terhenti kebangkitan ini. Maju dan mara agar kembali kegemilangan lalu. Masih ada masa pertingkatkan lagi kehebatan di atas padang.

“Demi Malaysia negara tercinta. Syukur Alhamdulillah. Kemenangan kita bangga bersama, kecundang kita tetap setia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para penyokong yang terus bersorak buat Harimau Malaya.

Semalam Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keempat-empat gol pasukan negara malam ini masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, tetapi sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.