Pandangan PRU Segera Kerana Enggan Ke Penjara Alasan Kelompok Takut Hadapi Pertimbangan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Presiden UMNOSiswa, Mubarak Kunyi menegaskan bahawa pandangan Pilihan Raya Umum (PRU) ingin dilakukan segera atas alasan takut ke penjara hanyalah alasan kelompok yang ketakutan menghadapi pertimbangan oleh rakyat melalui peti undi

Katanya, ini jelas kenyataan terbabit sekadar untuk menghasut dan mengaburi mata rakyat.

“Mereka cuba mengalih perhatian rakyat daripada melihat pergolakan yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN). Jelas PAS hari ini gerun untuk berhadapan dengan PRU kerana hingga hari ini PAS belum bersedia untuk menghadapi PRU.

“Presiden PPBM mengumumkan bahawa beliau bersedia berunding dengan pakatan pembangkang lain serta menerima idea Khemah Besar dan cadangan ini ditentang oleh Pas. Maka, hari ini PAS umpama ‘patah kemudi dengan ebamnya’ apabila berada dipersimpangan.

“Hendak bersama Muafakat Nasional umpama sukar kerana ketamakan mereka sendiri yang meninggalkan sahabat daripada UMNO demi PPBM. Hari ini sahabat mereka iaitu PPBM pula sudah mula mencari sahabat lain yang merupakan musuh Pas. Inilah yang dikatakan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’,” katanya dalam satu kenyataan yang disisrkan melalui laman facebooknya.

Ujarnya, Pas sebagai parti yang memperjuangkan prinsip politik matang dan sejahtera sewajarnya faham bahawa PRU-15 tidak dapat dielak lagi kerana sejak 9 Mei tempoh hari telah memasuki tahun Kelima penggal kali ini.

“Sejak merdeka, Malaysia telah mengadakan 6 kali PRU pada tahun kelima penggal. Ia merupakan perkara biasa yang berlaku.

“UMNO berpendirian bahawa untuk menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi pasca pandemik covid-19, sekuriti makanan yang membimbingkan dan pelbagai permasalahan ini sebuah Kerajaan Stabil dan Kuat perlu diwujudkan segera. Kabinet perlu dibentuk berlandaskan keupayaan seseorang untuk menjadi Menteri dan menyelesaikan masalah, bukan pelantikan berlandaskan parti yang bersekutu.”

“Semoga prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang terus dihormati dan diperkuat. UMNOSiswa kekal dengan prinsip keadilan perundangan. Malaysia kembali makmur dengan mandat rakyat.”

Kata Mubarak, UMNOSiswa mengingatkan SiswaPas bahawa hari ini mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan, bukan lagi parti jalanan yang hanya menuding jari bila sesuatu masalah berlaku.

Terdahulu UMNOSiswa menyelar SiswaPas yang membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkenaan PRU 15 dan kes mahkamah adalah sumbang.

Ini kerana, katanya kenyataan tersebut menggambarkan Pas tidak yakin dengan sistem perundangan negara sedangkan Pas sebahagian daripada kerajaan dan Timbalan Menteri Undang-Undang sendiri adalah dari PN, parti gabungan Pas.

“Siswa Pas kurang cerdik apabila kaitkan lantikan Peguam Negara dengan pengguguran kes. Pas mungkin masih bermimpi bahawa Tan Sri Muhyiddin masih lagi Perdana Menteri. Hakikatnya, Perdana Menteri sekarang adalah daripada UMNO. Jika isunya adalah Presiden UMNO mahu kesnya digugurkan, beliau boleh menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk menekan Perdana Menteri UMNO sekarang.

“Namun, sudah jelas bahawa tiada campur tangan berlaku sepanjang kes mahkamah itu berlangsung walaupun UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan bermula tahun 2020.

“Malah, tiada perbezaan jika PRU 15 dijalankan atau tidak pada waktu ini terhadap kes mahkamah kerana keputusan UMNO jelas bahawa Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

Jelas Mubarak, kini Ismail Sabri jugalah Perdana Menteri dan kuasa melantik peguam negara seperti yang dikatakan terletak pada tangan Perdana Menteri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.