Bola Sepak: Abaikan Teori Kelaut, Sorakan Gemuruh Rakyat Malaysia Bakar Semangat Pemain – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Jun – “Saya fikir kekalahan tipis Harimau Malaya kepada Bahrain tempoh hari tiada kaitan dengan sorakan penyokong Malaysia,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah sebaliknya beliau percaya sorakan gemuruh rakyat Malaysia selaku pemain ke-12 yang membakar semangat pemain-pemain.

“Bukan menyebabkan pemain hilang fokus lalu terlepas jaringan gol. Bukan kali pertama pemain negara beraksi di hadapan penyokong.

“Belum pernah pemain bolasepak negara kita bermain di padang tertutup tanpa penyokong kecuali ketika latihan.

“Nasib baik bukan dia yang jadi jurulatih atau pemain. Mungkin bunyi makan kuaci pun disalahkan kerana menganggu konsentrasi,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Selaras dengan itu beliau mengajak penyokong Harimau Malaya abaikan saja teori kelaut itu.

“Teruskan semangat menyokong demi negara. Semoga pasukan bolasepak negara kita berjaya wahai Harimau Malaya. Doa kami mengiringi perjuanganmu.”

Dilaporkan, Malaysia bakal berdepan Bangladesh pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 malam ini, kata penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad.

Selepas dua perlawanan, Bahrain di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata, Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengumpul tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023 dengan penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij itu adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Berdasarkan ranking lima naib juara terbaik selepas dua perlawanan, Malaysia berada di kedudukan terakhir; Thailand, Kyrgyzstan dan India di posisi teratas dengan mengumpul enam mata manakala Filipina (empat mata) di tempat keempat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.