P.Pinang Diminta Beri Maklumat Sektor Industri Di Kawasan Perindustrian Berasaskan Teknologi Tinggi

KEPALA BATAS, 12 Jun – Kerajaan Pulau Pinang diminta memberikan maklumat mengenai sektor industri yang akan dibangunkan di kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas 339 hektar di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas iaitu kawasan projek itu akan dibangunkan, tidak menolak kehadiran industri namun biarlah yang berteraskan teknologi tinggi.

“Saya sendiri akan lihat dan teliti serta minta kerajaan negeri (Pulau Pinang) untuk beri (maklum) kepada saya apakah industri yang nak datang ke sini… kita mahukan industri berteraskan teknologi tinggi kerana tidak mahu kebergantungan kepada pekerja yang tidak mahir.

“Kebanyakan pekerja (tidak mahir) itu hendak diletakkan di penginapan pekerja berpusat (CLQ) di kawasan perindustrian tersebut dan secara mudah difahami, kebanjiran pekerja-pekerja dari luar iaitu warga asing.

“Saya kekal dengan pendirian tidak terima CLQ malah telah nyatakan perkara itu (tidak setuju) secara verbal kepada Datuk Bandar (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan pemaju projek secara langsung kerana kawasan itu (Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir) merupakan penempatan kediaman yang sudah lama serta kampung tradisi, jadi amat tidak sesuai (pembinaan CLQ),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan eSports Youth Cabin di sini malam tadi.

Reezal Merican berkata kementeriannya akan memberi penekanan terhadap industri yang akan dibangunkan di kawasan perindustrian tersebut kerana ada agensi yang diletakkan di bawah kementerian itu dan tidak akan mengizinkan mana-mana ‘backyard industry’ kerana ia boleh boleh membuka pintu kepada kebanjiran warga asing di situ.

“Industri yang berteraskan teknologi atau automasi atau industri yang dilihat dapat membawa kepada kewujudan pekerja mahir… kita ada Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini dan bila ada ILP kita ada keluaran, alangkah indahnya tempat itu (kawasan perindustrian) menjadi tempat mereka (siswazah ILP) mencari pekerjaan dan kita tidak mahu kehadiran pekerja asing yang begitu banyak,” katanya.

Beliau berkata pihak berkenaan juga sepatutnya melaksanakan penilaian impak sosial terlebih dahulu supaya pada akhirnya matlamat untuk menjalankan projek tersebut perlu difahami dan dipersetujui oleh penduduk di kawasan terlibat serta rakyat keseluruhannya.

“Setakat saya difahamkan dalam sesi pendengaran awam yang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini, penduduk meluahkan rasa kurang senang dan tidak puas hati kerana tidak dihidangkan dengan maklumat yang cukup.

“Malah ada dalam kalangan mereka risau di sebalik satu, dua kilang berteknologi tinggi akan ada kilang-kilang lain membabitkan industri lain yang boleh mendatangkan kemudaratan dari segi sosial dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di 10 taman perumahan berhampiran projek tersebut mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembangunan CLQ di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor, tidak jauh dari situ.

Difahamkan, projek pembangunan itu yang dalam proses mendapatkan kebenaran merancang mempunyai dua pakej, dengan pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat manakala pakej kedua melibatkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.