Permulaan Bergaya Skuad Harimau Malaya, Kekalkan Momentum Kemenangan- Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan penghargaan kepada skuad bola sepak negara yang memberikan persembahan cemerlang pada perlawanan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung Rabu lalu.

Katanya kemenangan menewaskan Turkmenistan 3-1 itu memberikan suntikan semangat tersendiri buat pemain Harimau Malaya.

“Jika skuad negara berupaya mengekalkan momentum aksi cemerlang ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 pasti dapat melakar sesuatu yang hebat untuk Malaysia.

“Jarang-jarang menyaksikan pasukan Malaysia kerap menyerang memaksa lawan untuk bertahan seperti yang dipertontonkan ketika menentang Turkmenistan.

“Suatu transformasi yang membanggakan oleh skuad kebangsaan dalam misi untuk beraksi di Piala Asia 2023,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga turut mengharapkan skuad kebangsaan untuk terus mengekalkan prestasi tersebut untuk berhadapan dengan pasukan seterusnya.

“Walaupun ranking pasukan Bahrain di tangga ke-89 jauh lebih baik berbanding Malaysia, namun itu tidak bermakna Harimau Malaya tidak mampu melakukan kejutan.

“Justeru, usah kurang keyakinan berdepan Bahrain hanya disebabkan perbezaan di atas kertas kerana yang penting adalah tentang kita melakukan apa yang kita lakukan pada hari ini.

“Lipatgandakan semangat perjuangan Harimau Malaya untuk menguasai perlawanan menentang pasukan Bahrain kami seluruh rakyat Malaysia tetap setia mendoakan kejayaan,” ujar beliau.

Terdahulu, Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan rentak kemenangan selepas menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiga mata diraih memastikan Malaysia mengungguli Kumpulan E dengan kelebihan jaringan berbanding Bahrain yang berada di tangga kedua dengan juga tiga mata selepas berjaya menewaskan Banglades. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.