Kes Najib: Hakim Boleh Tarik Diri Jika Ada Konflik Berkepentingan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berpandangan bahawa hakim yang sedang mendengar sesuatu kes boleh mengecualikan dirinya dalam kes tersebut jika berada dalam keadaan konflik berkepentingan dengan kedudukannya.

Jelas beliau bagaimanapun sebagai hakim, seseorang itu sudah tentunya membuat penilaian yang sewajarnya jika mahu terus mengendalikan sesuatu kes.

“Seseorang hakim boleh secara sendiri menarik diri dari mendengar sebarang kes yang beliau mungkin mempunyai konflik berkepentingan.

“Seksyen 5 Kod Etika Hakim 2009 menyatakan mana-mana hakim, dalam menjalankan fungsi kehakiman mereka perlu bertindak secara bebas berdasarkan penilaian fakta dan selaras dengan pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau atas sebarang sebab.

“Dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sudah semestinya telah membuat pertimbangan yang sepatutnya sebelum bertindak sebagai Hakim bicara untuk kes tersebut,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Meskipun begitu, mengulas lanjut berkenaan permohonan bekas Perdana Menteri itu yang ingin membatalkan sabitan kes penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd beliau berkata ianya sepatutnya dilakukan terlebih awal.

“Permohonan Najib untuk membatalkan pensabitan kes berkaitan SRC International apabila mendakwa Hakim Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik berkepentingan sepatutnya dibuat lebih awal lagi semasa perbicaraan yang panjang di peringkat Mahkamah Tinggi lagi,” ujar beliau.

Terdahulu, Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

Peguam utama beliau iaitu Tan Sri Muhammed Shafee Abdullah berkata bukti yang ingin dikemuka adalah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 merupakan peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap pengurusan serta pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam syarikat itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.