Tarikh Bubar Parlimen Bidang Kuasa Yang Di-Pertuan Agong – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menjawab dakwaan DAP bahawa beliau tidak konsisten berhubung bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan berkata tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan laluan kepada PRU15 adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri berkata sebagai Perdana Menteri walaupun beliau diberi mandat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menasihatkan Seri Paduka berhubung pembubaran Parlimen namun Al-Sultan Abdullah boleh menolak sekiranya tidak bersetuju.

“Eloklah kalau (kenyataan) ‘flip flop’ supaya mereka (DAP) tak tahu bila saya nak adakan PRU15. Cuba tengok daripada kenyataan perdana menteri terdahulu, ada tak mereka menetapkan tarikh pilihan raya. Kalau tanya (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) waktu itu dia kata saya (Dr Mahathir) belum dapat ilham.

“Jadi saya tak boleh katakan tarikh tertentu, kalau saya sebut tarikh, saya dah mendahului Yang di-Pertuan Agong, salah dari segi perlembagaan. DAP punya perangai mungkin dia tak hormat Yang di-Pertuan Agong tapi saya hormat Yang di-Pertuan Agong dan saya patuh pada perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu, di sini hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini menyelar perdana menteri kerana pendirian yang didakwa “tidak konsisten” mengenai PRU15.

Ini susulan kenyataan Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan sebagai berkata PRU15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapannya di Konvensyen Barisan Nasional pada Rabu lepas beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.

Ismail Sabri berkata soal bila PRU15 turut akan dibincangkan bersama Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO serta Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional sebelum dibawa ke Kabinet dan seterusnya untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan masih belum bertemu dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membincangkan kedudukannya dalam Kabinet memandangkan Ahli Parlimen Ampang itu masih bercuti.

“Belum bertemu (Zuraida), dia bercuti lagi. Tarikh nanti saya akan tetapkan,” katanya.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia dan akan berjumpa dengan Ismail Sabri bagi membincangkan kedudukan beliau dalam Kabinet.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kabinet masih belum membuat ketetapan berhubung cadangan melarang mana-mana Ahli Parlimen yang sedang berdepan perbicaraan kes di mahkamah daripada menghadiri persidangan di Parlimen.

Beliau berkata perkara itu dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ia masih belum dibincangkan secara menyeluruh di peringkat Kabinet.

“Itu masih terlalu awal sebab kita akan membawa semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan antara di dalam akta tersebut termasuklah Ahli Parlimen yang dihadapkan ke mahkamah tidak dibenarkan masuk Parlimen. Kita boleh lihat ini secara lebih menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini Wan Junaidi dilaporkan berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 Nov 1993, iaitu pemansuhannya adalah bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam Persekutuan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.