Ahmad Maslan Harap ROS Dapat Luluskan Permintaan UMNO Pinda Perlembagaan Parti
BENTONG, 5 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap pindaan Perlembagaan UMNO yang dipersetujui oleh semua perwakilan dapat diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Ini kerana katanya pihak RoS telah meluluskan pemilihan parti dari rakan kompenan Barisan Nasional (BN) iaitu MCA bagi melanjutkan pemilihan parti sama seperti yang UMNO minta.
“Mudah-mudahan apa yang diminta oleh UMNO mengenai pemilihan parti tercapai malah parti MCA yang diluluskan oleh RoS telah meminda perlembagannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewatnya enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru diadakan pemilihan.
“Kalau dapat diluluskan maka pemilihan akan diadakan setiap kali selepas pilihan raya. Kalau diadakan pemilihan UMNO sebelum pilihan raya maka seluruh ‘pokok’ itu akan tumbang dan lingkup UMNO serta kembali kepada 22 bulan yang susah sebagaimana selepas PRU 14 lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada permukiman Penerangan UMNO Malaysia semalam. Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Permukiman selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan bahawa UMNO mempunya 22 ribu cawangan di seluruh negara.
“Pemilihan UMNO ini terdapat 22 ribu cawangan akan dipilih malah jawatan kuasa empat peringkat cawangan turut dipertandingkan. Maknanya berpuluh-puluh ribu jawatan akan dipertandingkan di setiap negeri.
Pada 15 Mei lalu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas telah meluluskan secara rasminya usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC). – UMNO Online