BN Kekal Parti Politik Paling Relevan, Terbukti Mampu Tadbir Negara – Khaidiriah

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar berpandangan Barisan Nasional (BN) telah memperlihatkan bahawa gabungan itu satu-satunya parti yang berkemampuan mentadbir negara ini dengan sebaiknya.

Jelas beliau, meskipun pelbagai cabaran telah dilalui termasuk kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 namun ianya diibarat sebagai pembakar semangat untuk BN bangkit.

“Tapi saya rasa dari satu tahun ke tahun kita dapat buktikan bahawa BN masih kekal relevan sebagai sebuah parti politik yang berupaya membentuk kerajaan yang lebih stabil.

“Jadi kita tidak kisah dengan apa yang orang cakap walaupun dihempas onak dan duri, dipukul ombak dan sebagainya tapi saya rasa kita dapat lihat bahawa kepimpinan yang kita tawarkan kepada masyarakat lebih mampu menarik keyakinan rakyat untuk terus bersama dengan BN,” katanya.

Sementara itu, beliau juga meluahkan kesyukuran dengan Sambutan Ulang tahun BN ke-48 yang telah membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan parti gabungan ini masih utuh.

“Alhamdulillah kalau kita dapat saksikan hari ini berlangsung dengan meriah, penuh dewannya sudah tentu kehadiran daripada komponen-komponen yang begitu ramai dan cukup kuat sokongannya daripada MCA, MICA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan juga Friends Of BN.

“Ini memberi satu indikator bahawa segelintir yang bercakap BN tidak relevan dan sebagainya adalah tidak benar,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.