Rakyat Telah Buat Perbandingan… Najib Optimis Peluang Cerah, Jentera BN Perlu Bersatu Padu
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak optimis peluang BN akan lebih cerah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan kepercayaan daripada rakyat setelah mereka melihat dan merasai serta boleh membuat perbandingan pemerintahan yang menerajui negera selepas PRU yang lalu.
Bercakap pada sesi pembentangan pada Konvensyen BN semalam, Najib yang juga mantan Perdana Menteri seterusnya menambah peluang berkenaan bagaimanapun akan terbentang seandainya seluruh jentera parti di dalam BN dapat bersatu padu serta melaksakan peranan masing-masing dengan sebaiknya atas semangat BN.
“Kalau kita bersatu saya yakin… dan saya dah pergi ‘on the ground’… maka saya yakin. Sudah ada angin perubahan dan angin ini bertiup ke arah BN. Namun jangan kita dibuai dengan kemenangan pilihan raya kecil. Kalau nak menang buat persiapan… buat persiapan dan buat persiapan. Keduanya jangan pandang enteng parti yang mencabar kita. Kalau kita merasakan bahawa kita tidak kebal dan kita buat strategi yang betul, saya optimis BN akan menang.
“Kenapa saya katakan begitu… pertama rakyat mahu melihat parti yang boleh bergantung harap untuk masa depan mereka. Kita pilih slogan ‘Kestabilan’ di Melaka akhirnya BN mendapat kemenangan yang cukup baik. Sebab apa… sebab orang mahukan kestabilan dan kestabilan adalah jaminan masa depan,” katanya.
Najib seterusnya menyatakan BN juga mempunyai ‘track record’ dalam mengemudi serta memacu negara termasuklah juga ketika zaman Perikatan dan ianya adalah ‘track record’ yang merentasi generasi.
“Apa yang kita lihat hari ini hampir semua adalah jasa perjuangan Perikatan serta BN dan bukannya PH atau PN. Maknanya orang boleh tahu BN ada ‘track record’… kalau nak beri kepercayaan beri kepada siapa… sudah tentulah beri kepercayaan kepada yang telah ‘deliver’ serta mampu dan bukannya retorik. Sebab itu mereka rindukan BN… zaman BN. Sebab mereka dah ‘compare’. Zaman BN dan PH. Tambah lagi PH ini janji macam-macam dan saya tidak perlu sebutlah.
“Apabila kita turun ke bawah kita kena ingatkan rakyat siapa yang mungkir janji… membohong skala besar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah tanah air. Orang tipu punya tipu akhirnya ‘yillek’. Selepas itu apabila kita nak ‘deliver’ kena yang ada kebolehan. Kebanyakan menteri-menteri ‘cap ayam’. Kadangkala kenyataan yang bangang. Kita kena ingat… antaranya minum ‘sesudu sawit sehari’. tukar kasut putih kepada kasut hitam… itukah kualiti pendidikan… sepatutnya bangunkan sistem pendidikan dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut menyentuh soal pentadbiran negara serta pengurusan ekonomi yang teruk serta soal kebajikan rakyat berbanding zaman BN sebelum itu termasuklah soal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta janji hapus tol di Simpang Renggam.
“Jika dibincangkan dan dihuraikan sampai Maghrib tak akan habis segala penipuan dan segala janji yang mereka mungkiri. Paling saya terkedu penjualan aset. Kita kalau mahu kaya pada masa depan kita kena tambah aset. Apabila tambah aset akan tambah kekayaan negara. Apabila jual aset generasi akan datang nak makan apa? Ini dah elok-elok kita ada dijualnya aset seperti IHH. Hospital Mount Elizabeth di Singapura milik Khazanah, milik Malaysia dan berpuluh-puluh hospital di Turki, India dan beberapa negara lain kita punya.
“Cuba bayangkan anak-anak kita nak jadi ‘specialist’ dan sebagainya boleh bekerja di hospital antarabangsa. Takkanlah kita tidak akan jadi sebuah negara di mana kemampuan dalam bidang kesihatan paling unggul di dunia nanti. Itu perancangan kita tetapi hanya tinggal sejarah.”
Tambahnya lagi perkara-perkara seumpama ini mesti diberitahu kepada rakyat dan PH perlu dihukum pada pilihan raya umum nanti termasuklah PN yang menipu.
“Nak lawan COVID kena gantung parlimen padahal kecut perut nak berdepan parlimen apabila ketiadaan majoriti, itu sebenarnya. Saya bukan cakap… saya tanya… ada menteri dalam itu dan dia mengaku. Saya tidak mahu sebutkan namanya dan beliau mengaku depan saya. Maknanya tipu kepada rakyat dan tipu kepada Yang diPertuan Agong. Malahan MCO atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang sehinggakan ribuan hilang pekerjaan dan ramai peniaga gulung tikar.
“Ini semua adalah dosa besar kepada rakyat Malaysia kerana kegagalan menguruskan COVID serta penipu rakyat. Sebab itulah kita mesti tolak PN dalam pilihan raya yang akan datang,” ujarnya.
BN mengadakan Konvensyen serta sambutan ulang tahunnya yang ke-48, berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam – UMNO Online