BN Bekerja Sebagai Satu Pasukan, Iktiraf Pelbagai Kaum Untuk Generasi Hadapan- Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata BN telah melayari gelombang yang begitu besar selama empat tahun iaitu selepas gagal mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 namun tetap bekerja sebagai satu pasukan.

Jelasnya, BN tetap melaksanakan khidmat kepada semua kaum di negara ini tanpa mengira perbezaan kaum atau agama, malah kini rakyat mahukan BN kembali sebagai kerajaan.

“Kerajaan BN sebelum ini telah terbukti berjaya membawa kemakmuran kepada rakyat, mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan ekonomi dan menjadikan negara dikagumi di peringkat antarabanga.

“BN mengiktiraf pelbagai kaum dan asas-asas perpaduan dipasak, telah diletakkan dalam Perlembagaan serta diperkasakan lagi oleh Rukun Negara melalui dasar-dasar kerana kita tahu Malaysia boleh maju sekiranya kestabilan ada.

“Malaysia itu adalah BN yang dibina dari dulu, kita tidak ada pilihan melainkan menawarkan kepada rakyat bahawa BN saja yang mampu membawa kestabilan malah telah terbukti apabila kerajaan beralih sebelum ini. BN saja yang boleh membawa acuan yang tidak dapat diciplak oleh mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada diskusi yang diadakan sempena Konvensyen BN yang bertajuk ‘BN Membina Harapan Generasi Baharu’ di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia semalam.

Turut hadir sebagai moderator konvensyen terbabit iaitu Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting di samping panel lain iaitu Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Ketua Pemuda MIC, Raven Kumar Krishnasamy; Ketua Pemuda PBRS. Prof Dr Edwin Laimin dan Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan tiga perkara yang utama bagi BN menghadapi PRU ke-15.

“Pertama, kita merasakan bahawa BN perlu kekal dengan akarnya yang ‘dipatrikan’ dalam Perlembagaan dan Rukun Negara tetapi dengan wajah yang baharu.

“Kedua, keberanian Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan iaitu mewajahkan dan menampilkan calon-calon baharu BN pada PRN Melaka dan Johor.

“Ketiga, segala pendekatan BN misalnya tradisi membela rakyat dan dalam konteks ini dipelbagaikan. BN adalah satu keluarga besar Malaysia dan ini adalah pendekatan yang harus digemblengkan dan gandakan,” ujarnya.

Tambah Asyraf, BN harus berkerja sebagai satu pasukan, rakyat mahu BN kembali mentadbir tetapi dengan wajah yang baharu.

“Kita berkerja sebagai satu pasukan, rakyat mahu BN kembali tetapi dengan wajah yang baharu, wajah yang segar, jangan rasa rendah diri dan lemah.

“Hakikatnya BN  boleh menawarkan Malaysia yang jauh lebih baik dengan acuan yang terbukti dan ternyata dalam sejarah. BN mampu membangunkan Malaysia yang cemerlang dan gemilang,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.