PRU15 Lebih Mencabar, Strategi BN Perlu Terbuka Untuk Kerajaan Lebih Kukuh – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan Barisan Nasional (BN) perlu untuk melakukan strategi tertentu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih mencabar.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan segala agenda yang telah dirangka sebelum ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya terutama di peringkat Parlimen.

“Kalau hendakkan 148 kerusi kita kena bersedia untuk bernegosasi kepada pihak-pihak yang mempunyai titik persamaan.

“Sebab kalau kita tawarkan perubahan kepada rakyat kita mesti menentukan bahawa atas apa pun dasar yang hendak dibuat undang-undang kena diubah untuk dasar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikaian pada diskusi Konvensyen BN yang bertajuk ‘Masa Depan Barisan Nasional’ yang dikendalikan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut serta sebagai panel dalam diskusi tersebut ialah Profesor Political Sociologi Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian; Profesor dari Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dan dari Insap Think Tank Trustee, Soong Fui Kiun.

Azalina yang juga Penasihat Undang-undang BN juga berkata, parti-parti komponen juga perlu untuk berfikiran terbuka sebagai persediaan sebelum PRU15 bagi memastikan kerajaan yang dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang kukuh.

“Kita kena bersedia untuk berfikiran terbuka kepada pendekatan baharu iaitu sama ada pre atau post-election coalition agreement.

“Jadi sebelum masuk pilihan raya kita buat persediaan, bersetuju atas beberapa fakta ataupun lepas menang kita bincang.

“Tapi kalau kita pergi pada pilihan raya dengan pemikiran bahawa BN sahaja dan kita tidak fleksibel rasa kita tidak dapat mentadbir kerajaan sekali lagi seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.