BN Tekad Rapatkan Barisan, Satukan Jentera Hadapi PRU – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin konvensyen dan ulang tahun BN dapat merapatkan hubungan antara semua pemimpin sama ada di peringkat Negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum (PRU).

Ini kerana katanya, hanya barisan kepimpinan BN yang mampu menterjemahkan kepimpinan dalaman serta dapat menyatukan jentera.

“Kali ini BN memerlukan ramai rakan-rakan dari parti lain untuk terus mendukung kerajaan yang ada. BN mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalaman dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat .

“BN mengambil lima langkah dan mudah-mudahan lima acuan ini akan dapat digunapakai oleh seluruh kepimpinan di peringkat nasional, negeri, Parlimen dan DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini selepas tamatnya konvensyen dan sambutan ulang tahun BN.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, apa yang telah ditandatangani oleh semua Presiden komponen BN adalah satu tekad untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Apa yang telah ditandatangani tadi adalah merupakan tekad BN dan apa juga yang telah dilafazkan oleh rakan-rakan Presiden parti-parti yang bergabung dengan BN mempunyai ‘familiarity’ dengan tekad yang ditanda tangani.

“Kita merasakan bahawa PRU tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun. Bila… hanya beliau yang tahu (Perdana Menteri). Kesiapsiagaan bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi cara gerak kerja yang dilakukan berbeza dengan pilihan raya yang lalu kerana ketika itu BN menjadi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dominan,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, UMNO telah lama bergerak dan bersiap sedia apabila gendang perang berbunyi.

“UMNO telah bergerak sekian lama namun BN mahu parti-parti lain bersama-sama dengan UMNO untuk bergerak seiring sejalan didalam menentukan kemenangan PRU-15.

“Kita harapkan kesiapsiagaan ini bukan satu gendang perang tetapi ianya adalah lebih berbentuk kepada kesiapsiagaan bagi memperkukuhkan jentera parti-parti komponen dan gabungan BN,” ujarnya. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.