Tangani Masalah Kenaikan Harga Barang, Norsabrina Gesa Kerajaan Bantu Kurangkan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menzahirkan kebimbangan dengan permasalahan yang melanda rakyat khususnya berkaitan kenaikan harga barangan makanan yang bukan hanya ayam malah turut melibatkan barangan keperluan dapur yang lain.

Sehubungan itu beliau menggesa agar Kerajaan dan semua pihak khususnya kementerian terlibat agar mengambil langkah drastik bagi memastikan isu membabitkan makanan ditangani segera.

“Jika sebelum ini hal berkaitan harga ayam dan kekurangan bekalannya menjadi permasalahan namun sekarang ini kenaikan harga turut menular kepada barangan lain seperti ikan, sayur-sayuran dan barangan keperluan harian.

“Di kedai-kedai dalam kampung pun, ada yang maklumkan harga ayam sekilo mencecah RM16. Jadi saya minta kerajaan tengok balik bekalan ayam dan juga segala bekalan barangan dapur dan barangan harian agar tidak terus membebankan rakyat,” katanya.

Dalam hal ini beliau yakin sekiranya ada tindakan secara holistik membabitkan semua pihak maka tentunya ada jalan terbaik yang boleh diambil bagi mengatasi isu terbabit.

“Ini adalah soal rakyat dan keperluan awam yang perlu ditangani malah keperitan masyarakat mendepani masalah kekurangan bekalan makanan atau harga barangan makanan yang terlampau tinggi perlu diatasi,” katanya kepada UMNO Online.

Dilaporkan inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global dan gangguan rantaian bekalan domestik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.