Golongan Belia Sangat Penting Bagi Negara, Asas Kekuatan Bangsa – Dr Najmil Faiz

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris melihat peranan belia dalam pembangunan negara sangat penting kerana ianya merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara.

Jelasnya, belia sebagai tenaga utama di dalam masyarakat tetapi juga dari segi peranan sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi.

“Peranan belia dalam pembangunan negara amatlah penting. Sebab itu, kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022.

“Selain itu, Perdana Menteri juga turut melancarkan inisiatif jamin kerja Keluarga Malaysia dan karnival kerjaya jamin kerja Keluarga Malaysia dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Anda semua adalah harapan negara dalam merealisasikan sebuah masyarakat yang dinamik. Ayuh muda bersama kita melayari bahtera Keluarga Malaysia ini demi negara tercinta ini dan ini adalah masa kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, di sini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan dana sebanyak RM500,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggerakkan program dan aktiviti persatuan belia di seluruh negara.

MBM ini mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program dan aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan Keluarga Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.