Bekalan Ayam: Rakyat Perlukan Solusi Pantas, Tiada Masa Peduli Adegan Salah Menyalah – Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa rakyat perlukan solusi pantas berkaitan isu kekurangan bekalan ayam melanda negara dan kini bekalan ikan pula dilaporkan berdepan masalah.

Katanya, beliau pernah menzahirkan kekhuatiran tentang harga ikan akan meningkat disebabkan kekurangan bekalan ayam dan kebimbangan itu ternyata berasas.

“Tentunya keadaan lebih memburuk apabila pendaratan ikan terutama di Utara Semenanjung dilaporkan berkurangan sehingga 70 peratus.

“Daripada lebih sejuta tan kepada hanya kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

“Seperti juga pernah saya nyatakan, perihal tentang isu bekalan makanan sepatutnya sudah dalam ‘prediction’ pihak bertanggungjawab. Faktor pandemik dan cuaca,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), seharusnya pelan kontingensi telah dirangka oleh kementerian dan agensi berkaitan untuk menangani hal yang sudah diduga akan berlaku.

“Malangnya apa yang kita dapati adalah sikap menunding jari pula yang berlaku. Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) nendakwa masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.

“Beliau mendakwa telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada lembaga pengarah yang dianggotai oleh kementerian berkaitan iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar tindakan segera diambil.

“Namun dakwanya masih tiada jawapan balas mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan.”

Bidas beliau, rakyat tiada masa untuk ambil peduli adegan salah menyalah kerana mereka yang terpaksa menanggung kesannya.

“Rakyat perlukan solusi pantas dan tentunya kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan perlu menyelesaikannya.

“MAFI, MOF, EPU dan LKIM perlu sepakat dan bertindak segera jika benar masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca permasalahan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.